Qatar, Saudi Dan Kemaraan Pak Wahab Di Malaysia

  • News Code : 836429
  • Source : freemalaysiatoday
Brief

Politik Timur Tengah sentiasa bermasalah. Walaupun umat Islam adalah majoriti, konsep kesatuan Islam hanya tinggal slogan sahaja. Bangsa Arab bermusuhan sesama sendiri, memutuskan persahabatan dengan alasan nipis dan berperang tanpa belas kasihan.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Politik Timur Tengah sentiasa bermasalah. Walaupun umat Islam adalah majoriti, konsep kesatuan Islam hanya tinggal slogan sahaja. Bangsa Arab bermusuhan sesama sendiri, memutuskan persahabatan dengan alasan nipis dan berperang tanpa belas kasihan.

Tetapi, orang Melayu Islam beria-ia mentaksubkan diri mereka kepada bangsa Arab. Mereka setia kepada negara seperti Arab Saudi sampai mereka terus menikus apabila negara itu melanggar hak-hak asasi manusia.

Sepatutnya, umat Islam yang paling lantang bersuara apabila kezaliman berlaku tetapi oleh kerana sebab tertentu, agamawan Melayu Islam pun terdiam seribu bahasa.

Hanya beberapa hari lepas, beberapa negara Arab seperti Arab Saudi, Bahrain, Emiriyah Arab Bersatu, Mesir, Libya dan Yaman memutuskan hubungan diplomatik dengan Qatar, satu negara kecil di semenanjung Arab.

Alasannya ialah Qatar menyokong beberapa kumpulan pengganas, dan menamakan kumpulan seperti Ikhwan Al-Muslimin, Al-Qaeda, IS dan sebagainya.

Tindakan Arab Saudi ini boleh diungkapkan dengen peribahasa Melayu, mengata dulang, paku serpih. Mengata orang, dia yang lebih!

Pada zahirnya, Arab Saudi tidaklah menyokong mana-mana gerakan teroris. Masalah utama dengan Arab Saudi ialah ideologi yang didukungnya iaitu Wahabisme.

Wahabisme ini bukan mazhab mahu pun puak seperti mana Sunni atau Syiah. Ia adalah satu aliran pemikiran yang sukar kita nampak dan saya akan menerangkan sebab-sebabnya di bawah.

Pengasas fikrah ini ialah Muhammad ibn Abdul Wahab, seorang agamawan kurun ke-18 yang amat tegar dengan perasaan negatif terhadap amalan umat Islam yang dikatakan “bid’ah” (perkara yang diada-adakan dalam agama) dan juga syirik (menyekutukan Allah).

Jika ini hanyalah khilaf semata-mata, ini tidak menjadi masalah. Masalah hanya akan timbul apabila sesuatu pendapat dipaksa ke atas pihak lain.

Inilah yang berlaku apabila Ibn Abdul Wahab berganding dengan Bani Saud yang kemudian menawan Semenanjung Arab dan memperluaskan pengaruh Wahabisme. Amalan yang diwarisi turun-temurun seperti menghormati kubur dan sebagainya dilarang.

Apakah kaitan Wahabisme dengan IS? Pada zahirnya, tidak ada kaitan walaupun ada banyak tuduhan kerajaan Saudi yang memberi IS dana atau sekurang-kurangnya, menyalurkan dana daripada penyumbang peribadi daripada negara itu kepada IS.

Adakah dakwaan ini terlalu sukar diterima? Fikirlah kembali kepada Osama Bin Ladin. Dia daripada keluarga yang terbilang di Arab Saudi, mengorbankan segalanya hanya untuk “berjihad”.

Kita mungkin tidak bersetuju dengan jalan yang dipilihnya, tetapi kita harus mengaku yang dia bukan munafik kepada kepercayaannya sendiri. Dia rela mati untuk menegakkan apa yang dipercayainya. Jika dia boleh berbuat begitu, tentu ada ramai lagi sepertinya.

Jelmaan ‘Salafi’ dan ‘Ahlus Sunnah’

Wahabisme sudah lama meresap masuk ke dalam DNA Islam dunia Melayu. Pada mulanya, kita tidak dapat menangkap ajaran Wahabi.

Saya meminati bidang ini sejak awal zaman 90an dan memang tidak asing kepada pusat buku Islam di Lembah Klang. Tetapi saya tidak pernah nampak pemikiran yang seperti aliran Wahabi. Jadi dalam taksiran saya, gerakan ini telah menular mungkin hanya 20 tahun yang lampau.

Satu sebab utama gerakan ini tidak jelas ialah mereka tidak akan menggunakan nama Wahabib (atau nama lain sekarang, “Pak Wahab”!). Malah nama yang dipakai sesama mereka pun, “salaf as-salih” (pengikut generasi pertama Islam), tidak biasa dipakai kerana akan dapat dikesan orang ramai.

Sebaliknya, mereka menggunakan nama Ahlus Sunnah wal Jamaah sahaja walaupun mereka banyak mengkafirkan golongan tersebut.

Mereka sudah tentu akan dianggap sebagai ulama Sunni yang biasa ada dalam dunia Melayu Islam.

Bagaimana kita boleh mengesan golongan Wahabi? Salah satu tanda kehadiran mereka ialah dakyah yang amat keras terhadap kaum Syiah.

Dua tahun lalu, apabila Umno hangat membincangkan golongan Syiah, terdapat golongan Wahabi yang turut serta mencemuh mereka. Tiba-tiba banyak orang Melayu muncul melemparkan tuduhan kepada Syiah walhal sebelum itu, mereka mungkin tidak tahu menahu pun tentang golongan tersebut. Inilah kesan pengaruh Wahabi.

Bukan sahaja Syiah, tetapi ulama Sunnah juga dikritik pihak Wahabi. Saya terkejut apabila diberitahu pengikut Wahabi yang Imam Ghazali menggunakan hadis lemah dalam kitab agungnya Ihya Ulumuddin.

Hujah sebegini sebenarnya adalah daya tarikan Wahabi. Mereka mendakwa menggunakan hadis yang lebih sahih. Kita patut bertanya, kepada mereka – bagaimana anda boleh lebih mengetahui hadis yang lebih sahih sedangkan golongan anda muncul lebih 800 tahun selepas pengkaji hadis yang dipegang Ahlus Sunnah?

Ini semua andaian semata-mata tetapi golongan Wahabi tidak gemar memakai logik. Mereka hanya akan mendabik dada, bangga yang merekalah yang mempunya pendapat yang paling teguh.

Dulu, gerakan Wahabiyah dikatakan sebagai sesat dan dilarang di negara kita.

Kini, mereka sudah meresap masuk ke posisi yang amat tinggi dalam kerajaan. Inilah sebabnya orang yang diburu seperti Dr Zakir Naik mendapat perlindungan di Malaysia dan sesiapa yang menentang perlindungan ini dikatakan “paria”.

Pihak Wahabi sentiasa akan cuba melindungi puak-puak mereka.

Oleh: Farouk A. Peru


Artikel berkaitan

Kirim komen anda

E-mel anda tidak akan dipaparkan. Sila isi tempat bertanda *

*

We are All Zakzaky
Telegram