Agamawan Islam, Kristian Tuntut Henti Label Islam Dengan Keganasan

  • News Code : 815242
  • Source : Utusan
Brief

Agamawan Islam dan Kristian tersohor di Asia Barat mengeluarkan satu ketetapan dengan menuntut masyarakat dunia supaya tidak lagi mengaitkan Islam dengan keganasan.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Agamawan Islam dan Kristian tersohor di Asia Barat mengeluarkan satu ketetapan dengan menuntut masyarakat dunia supaya tidak lagi mengaitkan Islam dengan keganasan.

Dalam persidangan yang dianjurkan Universiti Al-Azhar di sini semalam, Imam Besar institusi itu, Sheikh Ahmed Tayeb membuat gesaan itu selain menuntut mereka yang mengaitkan Islam dan agama-agama lain dengan keganasan supaya segera berhenti berbuat demikian.

“Menghukum Islam dengan perbuatan jenayah oleh beberapa individu membuka ‘pintu’ kepada masyarakat untuk mengaitkan semua agama dengan keganasan.

“Ini memberi justifikasi kepada hujah puak pelampau kemodenan iaitu masyarakat tidak memerlukan agama,” katanya.

Persidangan selama dua hari itu dihadiri para mufti dan paderi termasuk pemimpin Katolik Maronit Lebanon, Beshara Rai serta perwakilan gereja dari Amerika Syarikat (AS) dan Britain.

Sementara itu di Geneva, Setiausaha Agung Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Dr. Yousef Al-Othaimeen melahirkan kebimbangan terhadap perkembangan Islamofobia yang merupakan penghinaan kepada hak asasi manusia dan maruah umat Islam.

Katanya, peningkatan kebencian dan pelampau agama terutamanya diskriminasi Islam sudah mencapai suatu tahap membimbangkan.

Tegas beliau, sekatan dan dasar diskriminasi yang dikenakan ke atas umat Islam ketika politik berhaluan kanan semakin meningkat menguatkan naratif Islam terhadap golongan itu.

“Ini merupakan senario menakutkan bagi satu dunia yang tidak bertolak ansur kerana tiada seorang daripada kita mahukan anak-anak tinggal dalam keadaan ini.

“Kita seharusnya memainkan peranan masing-masing dan OIC komited untuk memainkan pe­ranannya,” katanya. – AFP


Artikel berkaitan

Kirim komen anda

E-mel anda tidak akan dipaparkan. Sila isi tempat bertanda *

*

We are All Zakzaky
Telegram