Mesir Berduka

  • News Code : 869243
  • Source : Harian Metro
Brief

Mesir berkabung semalam selepas jumlah korban serangan sebuah masjid di Sinai meningkat kepada 305 orang termasuk 27 kanak-kanak, sekali gus menjadi serangan terburuk pernah disaksikan di negara itu.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Mesir berkabung semalam selepas jumlah korban serangan sebuah masjid di Sinai meningkat kepada 305 orang termasuk 27 kanak-kanak, sekali gus menjadi serangan terburuk pernah disaksikan di negara itu.

Pendakwa raya berkata, seramai 30 militan yang memakai pakaian celoreng dan membawa bendera Daish mengepung masjid Rawda di Utara Sinai sebelum membunuh jemaah yang solat Jumaat.

Upacara pengebumian diadakan pada malam semalam dengan ramai mangsa dikebumikan dengan pakaian masih berdarah.

Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi mengisytiharkan tempoh berkabung selama tiga hari dan berikrar untuk membalas serangan itu dengan ‘ganas’

“Tentera dan polis akan membalas dendam atas kematian saudara kita yang mati syahid dan mengembalikan keselamatan serta kestabilan menggunakan kekerasan dalam tempoh terdekat,” tegasnya.

Beberapa jam kemudian, tentera memberitahu, pesawat tentera udara mengejar dan menemui beberapa kenderaan digunakan dalam serangan itu dan membunuh mereka yang menaikinya.

Pendakwa raya memberitahu, seramai 128 cedera dalam serangan di masjid yang terletak kira-kira 40 kilometer dari bandar El-Arish.

Katanya, sekumpulan lelaki berjanggut menaiki lima kenderaan mengepung masjid berkenaan ketika jemaah solat Jumaat.

Saksi berkata, mereka mendengar bunyi tembakan dan letupan sebelum penyerang masuk ke dalam masjid lalu menembak secara rambang.

Seorang mangsa yang cedera, Magdy Rizk memberitahu, dia melihat penyerang memakai topeng dan pakaian seragam askar masuk ke masjid.

Menurutnya, kumpulan pelampau sebelum ini pernah mengancam penduduk di kawasan itu.

Semua mangsa yang cedera dirawat di sebuah hospital di Ismailia yang terletak berhampiran Terusan Suez.

Kumpulan Daish di Mesir yang aktif di semenanjung Sinai sering melancarkan serangan membunuh beratus-ratus polis dan askar.

Mereka juga menyasarkan penduduk beragama Islam dan Kristian.


Artikel berkaitan

Kirim komen anda

E-mel anda tidak akan dipaparkan. Sila isi tempat bertanda *

*

Mesej Haji 2017 Dari Pemimpin Tertinggi Iran
We are All Zakzaky
Telegram