Mahkamah: Larangan Perjalanan Trump Mendiskriminasi Orang Islam

Mahkamah: Larangan Perjalanan Trump Mendiskriminasi Orang Islam

Mahkamah rayuan persekutuan di Amerika Syarikat (AS) semalam memutuskan larangan perjalanan yang disasarkan kepada 6 negara majoriti Islam melanggar Perlembagaan AS kerana mendiskriminasi atas dasar agama.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Mahkamah rayuan persekutuan di Amerika Syarikat (AS) semalam memutuskan larangan perjalanan yang disasarkan kepada 6 negara majoriti Islam melanggar Perlembagaan AS kerana mendiskriminasi atas dasar agama.

Keputusan mahkamah tersebut menjadi satu lagi halangan undang-undang bagi Trump melaksanakan dasar larangan perjalanan itu.

Dengan undian 9 lawan 4, Mahkamah Rayuan Sirkit 4 di Richmond, Virginia itu, menjadi mahkamah rayuan persekutuan ke-2 membuat keputusan menentang larangan itu, kerana mendapati berat sebelah terhadap orang Islam menjadi asas dasar itu.

Mahkamah Agung AS membenarkan larangan itu yang dicadangkan Trump pada perisytiharan presiden pada September walaupun litigasi mencabar dasar itu berterusan dibuat.

Keputusan itu dibuat lebih mendalam berbanding keputusan sebelum ini oleh Mahkamah Rayuan Sirkit 9 di San Francisco, yang mendapati larangan itu melanggar undang-undang imigresen persekutuan tetapi tidak menyebut sama ada larangan itu juga melanggar perlembagaan negara.

Mahkamah Agung sudah mengatakan pihaknya akan mengambil kira kedua-dua isu dalam memutuskan keesahan larangan itu dalam beberapa bulan akan datang.

Para hakim akan bersidang pada April bagi mendengar penghujahan terhadap larangan itu dan mengeluarkan keputusan sebelum akhir Jun.

“Sambil memeriksa kenyataan rasmi Presiden Trump dan pegawai eksekutif cawangan lain, berserta perisytiharan itu sendiri, kami menyimpulkan perisytiharan itu tidak berperlembagaan kerana berbaur kebencian terhadap Islam,” tulis Hakim Mahkamah Sirkit 4 Roger Gregory dalam keputusannya.

Pencabar larangan perjalanan itu “menawarkan bukti yang tidak dapat dipertikaikan berkenaan berat sebelah iaitu kata-kata Presiden Trump sendiri,” tulis Gregory sambil menyebut tentang “komen dan status Twitter menghina oleh Trump terhadap orang Islam.”

Sebagai calon, Trump menjanjikan “halangan kemasukan orang Islam ke AS secara menyeluruh”. Mahkamah juga menyebut tentang perlakuan Trump berkongsi video anti-Islam oleh ahli politik haluan kanan Britain di Twitter pada November lalu.

Dasar Trump itu adalah versi ke-3 larangan yang dikeluarkannya sejak menjadi presiden pada Januari 2017. Dasar itu menghalang kemasukan kebanyakan mereka dari Chad, Iran, Libya, Somalia, Syria dan Yaman ke AS. Trump berkata dasar itu diperlukan bagi melindungi AS daripada keganasan oleh militan Islam.

Jurucakap Jabatan Kehakiman AS Kerri Kupec berkata keputusan Sirkit 4 “tidak mengubah status quo dan pihaknya mahu penyelesaian akhir terhadap isu-isu itu oleh Mahkamah Agung.”

“Tiada apa lebih penting buat presiden dan peguam negara (Jeff Sessions) daripada keselamatan semua rakyat Amerika,” tambah Kupec.

“Perintah presiden yang sah dari segi undang-undang tetap menjadi kritikal dalam mencapai matlamat itu.”

Hakim Paul Niemeyer berkata mahkamah harus menghormati presiden dalam hal keselamatan negara. Beliau juga mengkritik majoriti mahkamah itu, mengatakan rakan-rakannya mengguna pakai “keputusan undang-undang baru yang membolehkan penggunaan kenyataan sepanjang kempen untuk menyusun semula tindakan-tindakan rasmi presiden yang kemudian.”

Keputusan pada Khamis itu mempertahankan keputusan oleh hakim mahkamah daerah di Maryland dalam satu kes yang dibawa oleh Kesatuan Kebebasan Sivil Amerika (ACLU) yang mewakili kumpulan sokongan termasuklah Projek Bantuan Pelarian Antarabangsa.

“Cubaan ke-3 oleh Presiden Trump untuk merendah-rendahkan dan mendiskriminasi orang Islam menerusi larangan imigresen sekali lagi gagal di mahkamah. Ia bukan perkara mengejutkan,”kata peguam ACLU, Cecillia Wang.


Artikel berkaitan

Kirim komen anda

E-mel anda tidak akan dipaparkan. Sila isi tempat bertanda *

*

Quds cartoon 2018
Mesej Haji 2017 Dari Pemimpin Tertinggi Iran
We are All Zakzaky