Mexico Usir Duta Korea Utara Tanda Protes

  • News Code : 852980
  • Source : Berita Harian
Brief

Kerajaan Mexico semalam mengisytiharkan Duta Korea Utara ke Mexico sebagai 'persona non grata', tanda protes ke atas ujian nuklear di negara itu.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Kerajaan Mexico semalam mengisytiharkan Duta Korea Utara ke Mexico sebagai 'persona non grata', tanda protes ke atas ujian nuklear di negara itu.

Ia satu langkah yang luar biasa tegas dari Mexico yang seolah makin sealiran dengan Washington.

Kerajaan Mexico dalam satu kenyataan berkata, ia memberi Kim Hyong Gil tempoh 72 jam untuk meninggalkan negara itu dalam usaha menyatakan 'penolakan mutlak' terhadap aktiviti nuklear Korea Utara baru-baru ini, sekali gus menggambarkannya sebagai ancaman serius terhadap rantau itu dan dunia.

Mexico secara tradisinya mengelak untuk terbabit dengan sebarang pertikaian diplomatik, tetapi sejak beberapa bulan kebelakangan ini ia lantang bersuara untuk mengecam kerajaan Venezuela dan Korea Utara.

Walau berdepan hubungan yang goyah dengan Presiden AS, Donald Trump yang mengancam untuk menamatkan Perjanjian Perdagangan Bebas Amerika Utara (NAFTA), Mexico tetap menyokongnya secara diplomatik membabitkan isu-isu yang tidak memberi kesan besar kepada politik kerajaan itu.

"Aktiviti nuklear Korea Utara adalah risiko yang serius terhadap kesejahteraan dan keamanan antarabangsa serta semakin mengancam negara-negara di rantau ini, termasuk sekutu Mexico seperti Jepun dan Korea Selatan," kata kerajaan Mexico.

Langkah Mexico itu adalah susulan gelombang kecaman antarabangsa ke atas Korea Utara selepas berterusan melancarkan peluru berpandu beberapa minggu lalu termasuk ujian nuklear baru-baru ini.

Seorang pegawai di kementerian luar Mexico bagaimanapun berkata, kerajaan Presiden Enrique Pena Nieto tidak memutuskan hubungan diplomatik dengan Korea Utara. - Reuters


Artikel berkaitan

Kirim komen anda

E-mel anda tidak akan dipaparkan. Sila isi tempat bertanda *

*

Mesej Haji 2017 Dari Pemimpin Tertinggi Iran
We are All Zakzaky
Telegram