Trump Buat Gempak?

Trump Buat Gempak?

Presiden Donald Trump mendakwa Korea Utara telah meletupkan empat tapak ujian terbesar miliknya dan proses ‘pelucutan senjata nuklear sepenuhnya’ telah bermula.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Presiden Donald Trump mendakwa Korea Utara telah meletupkan empat tapak ujian terbesar miliknya dan proses ‘pelucutan senjata nuklear sepenuhnya’ telah bermula.

Para pegawai AS yang enggan dikenali, bagaimanapun memaklumkan tiada sebarang bukti menunjukkan Korea Utara berbuat sedemikian.

“Namun, perkara utama ia­lah pelucutan senjata nuklear sepenuhnya sudah bermula,’’ kata Trump semasa mesyuarat Kabinet di White House semalam.

Tidak dapat dipastikan tapak ujian yang dimaksudkan Trump dan para pegawai AS yang sedia maklum tentang risikan tapak-tapak ujian peluru berpandu dan nuklear Korea Utara berkata, mereka tidak mempunyai bukti tentang pemusnahan tapak itu sejak pertemuan Trump dengan pe­mimpin negara berkenaan, Kim Jong-un pada 12 Jun lalu.

Pegawai terbabit mengandaikan Trump merujuk perkara tersebut terhadap letupan yang berlaku pada bulan lalu selepas Korea Utara membe­ritahu mahu meletupkan terowong tapak ujian nuklear Punggye-ri dan menanggalkan struktur pengujian peluru berpandu balistik jarak sederhana di Ilha-ri pada bulan lalu.

Jurucakap Jabatan Negara AS, Heather Nauert berkata, Se­tiausaha Negara AS, Mike Pompeo dijangka mengadakan pertemuan dengan pegawai-pegawai Korea Utara dan berbincang tentang tarikh pa­ling awal bagi melaksanakan persetujuan yang dicapai di Singapura.

Setiausaha Pertahanan AS, Jim Mattis ketika ditanya semalam tentang kemungkinan Korea Utara telah melaksanakan pelucutan senjata nuklear turut memaklumkan tidak mengetahui perkara tersebut.

“Tidak, saya tidak mengetahui perkara ini. Ini merupakan proses paling penting. Perincian rundingan masih belum bermula. Saya tidak menjangkakan perkara ini (pelucutan) akan berlaku pada peringkat ini,’’ katanya.

Pentagon dan White House tidak memberi sebarang maklum balas tentang kenyataan terbaharu Trump : Reuters


Artikel berkaitan

Kirim komen anda

E-mel anda tidak akan dipaparkan. Sila isi tempat bertanda *

*

mourning-of-imam-hussain
Mesej Haji 2018 Dari Pemimpin Tertinggi Iran
We are All Zakzaky