Trump Tidak Kurang Bahaya Dengan Deklarasi Balfour 1917

Trump Tidak Kurang Bahaya Dengan Deklarasi Balfour 1917

Deklarasi 2017 oleh Presiden Amerika Syarikat Donald Trump adalah tidak kurang bahaya dengan Deklarasi Balfour 1917 dengan mengambil kira keadaan sejarah dan implikasi politik kedua-dua deklarasi tersebut, kata Kongres Rakyat Palestin di Luar Negara.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Deklarasi 2017 oleh Presiden Amerika Syarikat Donald Trump adalah tidak kurang bahaya dengan Deklarasi Balfour 1917 dengan mengambil kira keadaan sejarah dan implikasi politik kedua-dua deklarasi tersebut, kata Kongres Rakyat Palestin di Luar Negara.

Kenyataan akhbar yang dikeluarkan hari ini oleh kongres menerusi Forum Antarabangsa Palestin bagi Media dan Komunikasi berkata Trump telah mengambil langkah duluan yang berbahaya dalam sejarah undang-undang dan hubungan antarabangsa serta melengkapkan pelaksanaan Deklarasi Balfour yang menimbulkan kontroversi itu satu abad kemudian.

Deklarasi Balfour adalah pengiktirafan sejarah antarabangsa yang pertama mengenai hak orang Yahudi untuk membina negara haram di bumi Palestin yang mengakibatkan pendudukan Zionis dan Deklarasi 2017 merujuk kepada keputusan Trump pada 6 Disember untuk mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel, dan memindahkan kedutaan Amerika Syarikat ke sana.

"Melalui Deklarasi itu, Amerika Syarikat telah meletakkan dirinya sebagai pengganti Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) dan masyarakat antarabangsa serta membelakangkan resolusi dan legatimasi antarabangsa," menurut kenyataan itu yang memetik pengerusi jawatankuasa perundangan Kongres, Mutaz Al-Masloukhi.

Kongres itu menyatakan bahawa kenyataan Trump mencerminkan imej yang jelas tentang betapa Amerika Syarikat bersekongkol dalam pendudukan Zionis yang melampaui semua batasan dan mendedahkan integrasi Zionis Amerika yang mencabuli undang-undang antarabangsa.

Kongres itu menggesa komuniti antarabangsa memikul tanggungjawabnya untuk menyekat hegemoni AS berhubung penyelesaian antarabangsa, mengekalkan legetimasi antarabangsa dan mematuhi peruntukan undang-undang antarabangsa.

Kongres menganggap kenyataan Trump sebagai deklarasi rasmi tentang berakhirnya proses damai, mengganggu-gugat Perjanjian Oslo dan lampirannya, dan menguburkan inisiatif Arab dan dunia sekarang menghadapi sejarah baharu isu Palestin dan konflik Arab-Israel. - Bernama


Artikel berkaitan

Kirim komen anda

E-mel anda tidak akan dipaparkan. Sila isi tempat bertanda *

*

Mesej Haji 2017 Dari Pemimpin Tertinggi Iran
We are All Zakzaky
Telegram