China Kekal Bersikap Neutral

  • News Code : 847804
  • Source : Utusan Online
Brief

Akbar terkemuka China, Global Times melaporkan China mungkin kekal bersikap neutral jika Korea Utara melancarkan serangan yang mengancam Amerika Syarikat (AS).

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Akbar terkemuka China, Global Times melaporkan China mungkin kekal bersikap neutral jika Korea Utara melancarkan serangan yang mengancam Amerika Syarikat (AS).

Akhbar tersebut berkata, bahawa tindakan Washington dan Pyongyang terlalu melulu yang boleh membawa kepada salah perhitungan dan perang strategik.

“China juga perlu menjelaskan bahawa jika Korea Utara melancarkan peluru berpandu yang mengancam wilayah AS dahulu dan AS pula membalas, China akan tetap neutral.

“Tetapi sekiranya AS dan Korea Selatan melancarkan serangan dan cuba menggulingkan rejim Korea Utara serta mengubah pola politik semenanjung Korea, China akan menghalang mereka daripada berbuat demikian,” jelas laporan tersebut.

Kementerian Luar China pula mengambil langkah selamat apabila menggesa semua pihak untuk bercakap dan bertindak dengan hati-hati ketika ketegangan hubungan antara Korea Utara dan AS semakin meruncing.

“China berharap semua pihak dapat membantu meringankan keadaan tegang yang semakin memuncak serta meningkatkan kepercayaan bersama dan bukannya bergilir menunjukkan kekuatan,” kata kementerian itu dalam kenyataan ringkas di laman webnya.

Sementara itu, Majlis Kesatuan Eropah (EU) memperluaskan senarai sekatan yang menyasarkan Korea Utara sebagai tindak balas terhadap provokasi berterusan yang dilakukan negara komunis itu, lapor agensi berita Xinhua.

EU dalam satu kenyataan mengumumkan untuk menambah sembilan individu dan empat lagi firma termasuk Bank Perdagangan Luar Negeri milik kerajaan negara itu ke dalam senarai hitam sejajar dengan resolusi baharu yang diluluskan oleh Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) minggu lalu.

Berikutan keputusan itu, senarai hitam tersebut kini termasuk 62 individu dan 50 firma yang tertakluk kepada pembekuan aset dan sekatan perjalanan di EU.

Keputusan itu dibuat selepas Korea Utara mengumumkan rancangan untuk menyerang wilayah Amerika Syarikat (AS) di Guam dengan peluru berpandu beberapa jam selepas Presiden AS, Donald Trump memberi kata dua kepada Pyongyang supaya menghentikan ancaman atau berdepan padah diserang secara besar-besaran.

Dalam pada itu, Perdana Menteri Australia, Malcolm Turnbull mengumumkan negaranya bersedia untuk menyertai konflik menentang Korea Utara jika pangkalan tentera AS diserang.

Turnbull berkata, Australia akan memenuhi kewajipannya di bawah Perjanjian Anzus jika serangan terhadap AS benar-benar berlaku.

“Kami akan terus berdiri bersama AS. Sekiranya ada serangan ke atas AS, Perjanjian Anzus akan dikuatkuasakan dan Australia akan tampil membantu seperti mana Washington membantu jika kami diserang,” jelas Turnbull.

Semalam, pihak berkuasa ta­nah jajahan AS, Guam mengumumkan hanya mempunyai tempoh 14 minit untuk memberikan amaran kepada rakyatnya yang pulau itu sedang berhadapan serangan peluru berpandu dari Korea Utara.

Menteri Dalam Negeri Guam, Jenna Gaminde berkata, penduduk akan dimaklumkan menerusi bunyi siren yang akan dibunyikan menerusi Sistem Penggera Amaran Kecemasan yang diletakkan di sekeliling pulau itu.

Setiausaha Pertahanan AS, Jim Mattis berkata, AS masih berharap dapat menyelesaikan krisis Korea Utara menggunakan diplomasi berbanding peperangan yang hanya akan mengundang bencana besar kepada masyarakat dunia.

“Tragedi perang cukup diketahui dan tidak memerlukan ciri lain selain fakta bahawa ia akan menjadi bencana besar yang memburukkan keadaan,” jelas Mattis.

Apabila ditanya mengenai ran­cangan ketenteraan AS untuk berdepan konflik dengan Korea Utara Mattis akan memberitahu baha­wa negaranya sudah bersedia, tetapi tidak akan memberitahu musuh terlebih dahulu apa yang akan dilakukan. – Agensi


Artikel berkaitan

Kirim komen anda

E-mel anda tidak akan dipaparkan. Sila isi tempat bertanda *

*

We are All Zakzaky
Telegram