Korea Utara Seru Dua Korea Disatukan

Korea Utara Seru Dua Korea Disatukan

Korea Utara telah membuat pengumuman yang disifatkan jarang sekali berlaku apabila menyeru semua bangsa Korea di luar mahupun dalam negara supaya berusaha ke arah penyatuan cara telus tanpa campur tangan negara luar.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Korea Utara telah membuat pengumuman yang disifatkan jarang sekali berlaku apabila menyeru semua bangsa Korea di luar mahupun dalam negara supaya berusaha ke arah penyatuan cara telus tanpa campur tangan negara luar.

Menurut media tempatan negara itu, semua bangsa Korea Utara dan Korea Selatan perlu menggalakkan hubungan, kunjungan dan kerjasama sambil menambah bahawa Pyongyang akan menghancurkan semua halangan yang menentang penyatuan Semenanjung Korea.

Pengumuman yang dibuat selepas mesyuarat bersama dua kerajaan dan parti politik itu turut menggesa bangsa Korea mengambil langkah perlu untuk meredakan ketegangan ketenteraan yang tercetus dan dan mewujudkan suasana aman di Semenanjung Korea.

Agensi berita Korea Utara berkata, ketegangan ketenteraan di Semenanjung Korea merupakan penghalang utama terhadap usaha memulihkan hubungan dan penyatuan kedua-dua buah negara berkenaan.

Tambah laporan itu lagi, latihan ketenteraan bersama dengan pihak tentera asing tidak membantu perkembangan hubungan antara Korea Utara dan Korea Selatan.

Korea Utara tidak mendedahkan butiran sebab pertemuan diadakan tetapi kenyataan itu mengatakan mesyuarat itu bertujuan menyokong kenyataan Pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un mengenai perpaduan dalam ucapan tahun baharu beliau.

Jong-un berkata, tahun ini amat bermakna kepada kedua-dua negara kerana Korea Utara bakal meraikan ulang tahun ke-70 penubuhannya manakala Korea Selatan pula menjadi tuan rumah Sukan Olimpik Musim Sejuk bulan depan.

Sementara itu, Menteri Luar Korea Selatan, Kang Kyung-wha berkata pihaknya telah menyediakan pelan kontigensi sekiranya Korea Utara melancarkan lagi ujian senjata nuklearnya meskipun negara itu sudah mengedakan perbincangan dan juga lawatan dua hala menjelang penganjuran Olimpik Musim Sejuk bulan depan.

“Tidak mustahil boleh berlaku satu lagi provokasi tetapi kita telah bincangkan semua senario kontingensi dan bersedia menangani apa yang mungkin berlaku, tetapi ke­seluruhannya adalah perkara yang baik,” katanya.

Jong-un dilaporkan turut menetapkan ulang tahun bagi menandakan pembentukan tenteranya pada 8 Februari depan, sehari sebelum permulaan acara sukan berkenaan dan penganalisis berpendapat sambutan itu akan dipenuhi dengan perarakan tentera yang besar.

Timbalan Presiden Amerika Syarikat (AS), Mike Pence yang akan mewakili AS di acara sukan tersebut berkata, pihaknya akan menentang sebarang usaha oleh Korea Utara untuk ‘merampas’ acara itu dengan kempen propagandanya.

Seoul bagaimanapun menyifatkan penganjuran Sukan Olimpik Musim Sejuk akan membantu meredakan ketegangan terhadap program nuklear dan peluru berpandu Pyongyang. – REUTERS


Artikel berkaitan

Kirim komen anda

E-mel anda tidak akan dipaparkan. Sila isi tempat bertanda *

*

Mesej Haji 2018 Dari Pemimpin Tertinggi Iran
We are All Zakzaky