Potong Bajet A.S, Operasi PBB Terjejas

  • News Code : 818392
  • Source : Utusan
Brief

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan agensi-agensi yang bersekutu dengannya dijangka berdepan masalah kekurangan dana pembiayaan, malah mungkin tidak lagi menerima sumbangan daripada Amerika Syarikat (AS) berikutan tindakan pentadbiran Presiden Donald Trump memotong berjuta-juta bantuan pembangunan dan diplomasi menerusi bajet tahun depan.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan agensi-agensi yang bersekutu dengannya dijangka berdepan masalah kekurangan dana pembiayaan, malah mungkin tidak lagi menerima sumbangan daripada Amerika Syarikat (AS) berikutan tindakan pentadbiran Presiden Donald Trump memotong berjuta-juta bantuan pembangunan dan diplomasi menerusi bajet tahun depan.

Misi pengaman dan pertubuhan antarabangsa yang amat bergantung kepada sumbangan kewangan AS kini berdepan dengan kekangan yang ketara berdasarkan cadangan White House untuk mengurangkan pembiayaan bagi Jabatan Negara dan Agensi AS bagi Pembangunan Antarabangsa sehingga 31 peratus dalam tahun kewangan akan datang.

Tindakan tersebut adalah langkah tambahan kepada pemotongan terhadap pembiayaan yang sebelum ini diterajui oleh AS seperti kesihatan, pembangunan dan inisiatif perubahan cuaca yang kini memerlukan para penyumbang lain bagi memenuhinya.

Wakil AS di PBB, Nikki Haley memberitahu,’ PBB membelanjakan wang melebihi sepatutnya’ sekaligus membebankan AS berbanding negara-negara lain.

Beliau berkata, pihaknya sedang bekerjasama dengan PBB bagi menyusun semula pertubuhan itu dan ‘mengembalikan kepercayaan dan nilai’.

Program perubahan cuaca PBB yang diwujudkan bagi membantu negara miskin mengurangkan kesan pelepasan gas rumah hijau menerima AS$1 bilion (RM4.4 bilion) melalui Inisiatif Perubahan Cuaca Global di bawah pentadbiran Presiden terdahulu, Barack Obama tetapi di bawah rancangan Trump, wang berkenaan telah ‘hilang’.

Sementara itu. di Intipuca, El Salvador, para penduduk di Amerika Tengah kini bimbang polisi anti-imigresen yang dikuatkuasakan Trump akan menyekat kemasukan wang yang dikirim setiap tahun oleh ahli keluarga masing-masing yang hidup sebagai pendatang di AS.

Ini berikutan kumpulan pendatang tanpa dokumen sah yang berada di negara berkenaan akan dihantar pulang sekali gus menamatkan kemasukan berbilion-bilion dollar wang kiriman ke negara masing-masing.

Berdasarkan laporan Pusat Penyelidikan Pew, terdapat berjuta-juta penduduk Amerika Tengah yang menetap di AS secara sah tetapi kira-kira 1.7 juta merupakan pendatang tanpa dokumen.

Kebanyakan mereka berasal dari negara miskin yang dikuasai oleh kumpulan samseng dikenali sebagai Segitiga Utara iaitu Guatemala, El Salvador dan Honduras. – AFP/AP


Artikel berkaitan

Kirim komen anda

E-mel anda tidak akan dipaparkan. Sila isi tempat bertanda *

*

mourning-of-imam-hussain
Mesej Haji 2017 Dari Pemimpin Tertinggi Iran
We are All Zakzaky
Telegram