Ratusan Kakitangan Lapangan Terbang Turki Ditahan

Polis Turki menahan ratusan pekerja yang mengadakan bantahan terhadap keadaan di lapangan terbang Istanbul yang sedang dalam pembinaan, di sini.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Polis Turki menahan ratusan pekerja yang mengadakan bantahan terhadap keadaan di lapangan terbang Istanbul yang sedang dalam pembinaan, di sini.

Lapangan terbang itu adalah antara projek gergasi yang dilancarkan oleh Presiden, Recep Tayyip Erdogan dan ia dijangka dibuka bulan depan.

Pengurus Besar kesatuan Dev Yapi-Is, Ozgur Karabulut, berkata bantahan bermula selepas kemalangan membabitkan sebuah bas ulang-alik pada Jumaat lalu, yang menyebabkan 17 pekerja cedera.

Katanya, susulan kejadian itu, ratusan pekerja menyertai demonstrasi berkenaan, sebelum ia dileraikan oleh pihak polis, termasuk menggunakan kenderaan anti rusuhan dan gas pemedih mata.

“Anggota polis menyerbu masuk kediaman pekerja, dan memecah pintu kem, sebelum menahan kira-kira 500 pekerja,” kata Karabulut kepada Reuters menerusi telefon dan menambah beliau kini berusaha memohon pembebasan kesemua pekerja berkenaan.

Sementara itu, ahli Parlimen pembangkang yang juga pro Parti Demokratik Rakyat Kurdish (HDP), Ali Bayar, berkata jumlah mereka yang ditahan adalah sekitar 400 orang.

“Kuarters kediaman pekerja kelihatan seperti ‘kem tahanan’. Ketika kami berada di sana, pihak polis tentera masih menahan pekerja,” kata Bayar kepada Reuters.

Menurut Kerajaan Turki, apabila siap, lapangan terbang berkenaan akan menjadi yang terbesar di dunia dan ia adalah salah satu projek pembinaan yang dilaksanakan oleh Erdogan bagi menaik taraf kemudahan infrastruktur negara itu. - Reuters


Kirim komen anda

E-mel anda tidak akan dipaparkan. Sila isi tempat bertanda *

*

Mesej Haji 2018 Dari Pemimpin Tertinggi Iran
We are All Zakzaky