Realiti Atau Sekadar Gertakan

  • News Code : 847521
  • Source : Utusan Online
Brief

Korea Utara mengumumkan cadangan terperincinya untuk melancarkan empat peluru berpandu berdekatan wilayah Amerika Syarikat (AS) di Guam dalam tempoh beberapa hari lagi sambil memperlekeh­kan amaran Presiden AS, Do­nald Trump sebagai ‘sesuatu yang mengarut’.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Korea Utara mengumumkan cadangan terperincinya untuk melancarkan empat peluru berpandu berdekatan wilayah Amerika Syarikat (AS) di Guam dalam tempoh beberapa hari lagi sambil memperlekeh­kan amaran Presiden AS, Do­nald Trump sebagai ‘sesuatu yang mengarut’.

Agensi berita KCNA memetik kenyataan Ketua Komander Pasukan Peluru Berpandu Korea Utara, Jeneral Kim Rak-gyom berkata, tentera akan melengkapkan pelan untuk menyerang Guam pada pertengahan bulan ini sebelum diserah untuk pertimbangan pemimpinnya, Kim Jong-Un.

Menurut kenyataan itu, empat peluru berpandu balistik Hwasong-12 akan dilancarkan serentak dan bakal melalui ruang udara Jepun dalam masa 17 minit 45 saat.

Peluru berpandu tersebut akan bergerak sejauh 3,356.7 kilometer sebelum jatuh sekitar 30 hingga 40 kilometer dari Guam dan bakal memberi impak besar di luar perairan wilayah AS itu.

“Serangan ke atas pulau yang menjadi pangkalan utara tentera AS bertujuan memberi peringatan penting kepada pemimpin AS.

“Trump yang menyatakan serangan balas yang dahsyat adalah sesuatu yang mengarut. Rundingan yang berkesan tidak mungkin dapat dicapai dengan lelaki yang tidak munasabah ini,” katanya.

Pengumuman itu dibuat selepas Trump memberi amaran bahawa tindakan pemimpin Korea Jong-Un menghasilkan senjata nuklear, boleh membawa kepada kejatuhan rejim itu berdasarkan kekuatan senjata nuklear AS.

Presiden AS itu turut memuat naik kenyataan di Twitter dengan menyatakan bahawa senjata nuklear AS jauh lebih kuat dan lebih berkuasa daripada apa yang dimiliki sebelum ini.

Gabenor Guam, Eddie Calvo berkata, tindakan Korea Utara sukar dijangka tetapi menegaskan pulau berkenaan dilengkapi dengan kawalan ketenteraan yang baik dan bersedia untuk menangani sebarang ancaman negara komunis itu.

Di Jepun, Menteri Pertahanannya, Itunori Onodera turut dilaporkan memberitahu anggota Parlimen Jepun bahawa kerajaan berdasarkan prinsip undang-undang boleh memintas peluru berpandu Korea Utara yang disasarkan ke arah Guam.

Beliau berkata, Jepun dibenarkan memintas peluru berpandu itu kerana ia juga dianggap membawa ancaman terhadap negara ini. Para pakar bagaimanapun berkata, Jepun tidak mempunyai keupayaan untuk menembak jatuh biarpun ia telah memasuki wilayahnya.

Dalam perkembangan berasingan, Korea Utara membebaskan seorang paderi Kanada yang dihukum mati atas alasan kemanusiaan beberapa jam selepas AS memberi amaran akan menentang sebarang ancaman dari Pyongyang dengan api dan kemarahan.

Tidak ada kaitan jelas antara pembebasan Hyeon Soo Lim dengan retorik Washington dan Pyongyang.

Satu kenyataan dari pejabat Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau mengesahkan bahawa Soo Lim telah dibebaskan dan akan segera disatukan semula dengan keluarga dan rakan-rakannya.–REUTERS/AFP


Artikel berkaitan

Kirim komen anda

E-mel anda tidak akan dipaparkan. Sila isi tempat bertanda *

*

We are All Zakzaky
Telegram