Siapa Sebenarnya Menipu

Siapa Sebenarnya Menipu

Pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un sebelum ini me­­nyatakan persetujuan untuk menghentikan program senjata nuklear di Semenanjung Korea dan sebagai balasan, Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump memberi jaminan untuk mengurangkan sekatan terhadap ekonomi negara tersebut.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un sebelum ini me­­nyatakan persetujuan untuk menghentikan program senjata nuklear di Semenanjung Korea dan sebagai balasan, Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump memberi jaminan untuk mengurangkan sekatan terhadap ekonomi negara tersebut.

Persetujuan itu dicapai menerusi satu pertemuan yang julung kali diadakan antara ke­dua-dua pemimpin berkenaan di Singapura pada Jun lalu.

Namun, semua perkara yang dinyatakan oleh kedua-dua pemimpin berkenaan kini dilihat se­perti cakap kosong apabila satelit pengintip AS mendakwa mengesan aktiviti baharu di sebuah ki­lang di Korea utara yang dikaitkan dengan penghasilan peluru berpandu antara benua (ICBM).

Pendedahan tersebut secara tidak langsung menimbulkan persoalan mengenai komitmen Pyongyang untuk benar-benar menghentikan program senjata nuklearnya dan juga janji AS untuk mengurangkan sekatan terhadap negara berkenaan.

Sebelum ini terdapat satu lagi laporan yang mendakwa Korea Utara melakukan penambahbaikan terhadap kemudahan penyelidikan nuklearnya.

Berdasarkan imej satelit yang dikeluarkan oleh laman web 38 North baru-baru ini menunjukkan bahawa bukan sahaja operasi diteruskan di tapak nuklear utama Yangbyon, malah Pyongyang juga menjalankan kerja-kerja membangunkan infrastruktur.

Senario itu seolah-olah memberi gambaran bahawa Pyongyang tidak kisah dengan persetujuan yang sudah dicapai dan tidak mustahil jika negara itu kembali dengan program senjata nuklear yang lebih hebat berbanding sebelum ini.

Namun, situasi itu sudah dapat dijangka kerana Jong-un tidak mudah untuk melepaskan program nuklear yang sudah lama hanya disebabkan oleh desakan AS.

Pemimpin Korea Utara itu sebelum ini pernah menegaskan bahawa negara berkenaan perlu sentiasa bersedia untuk membalas mana-mana serangan nuklear dan sehubungan itu, program penghasilan senjata tersebut perlu diteruskan sehingga mencapai kuasa maksimum.

Hal ini menunjukkan Jong-un sebenarnya tidak pernah bersetuju dengan mana-mana desakan atau cadangan untuk menghentikan penghasilan peluru berpandu sama ada sebelum, semasa atau selepas mengadakan pertemuan dengan Trump.

Tidak dapat dinafikan beliau sebelum ini pernah mengumumkan untuk menghentikan ujian pelancara ICBM atau mana-mana senjata nukelar lain, namun Jong-un sebenarnya masih membenarkan rejimnya mela­kukan penambahbaikan terhadap program berkenaan.

Biarpun Trump dan pentadbirannya berkeras ‘memujuk’ Korea Utara bahawa senjata nuklear sebenarnya lebih banyak menjejaskan berbanding meningkatkan tahap keselamatan, Jong-un masih enggan melepaskan program tersebut.

Sebaliknya, beliau masih berpegang pada pendiriannya iaitu hanya senjata nuklear boleh digunakan untuk menentang AS yang berupaya menjatuhkan regim ser­ta menyebabkan kematiannya.

Dalam pada itu, ada juga pihak berpandangan bahawa pendedahan yang dibuat AS itu sebenar­nya menggambarkan sikap ‘takut bayang-ba­yang sendiri’ kerana Washington sehingga kini dilihat meragui komitmen Pyongang dalam perjanjian yang dipersetujui.

Hal ini dapat dilihat apabila AS masih meneruskan sekatan terhadap negara itu dengan alasan mereka tidak akan berhenti selagi Pyongyang juga tidak melucutkan program nuklearnya secara menyeluruh.

Keadaan itu secara jelas tidak meyakinkan Korea Utara untuk menghentikan program senjata nuklear kerana beranggapan ne­gara itu boleh menyerang Pyongyang pada bila-bila masa dan akhirnya menamatkan rejim pemerintahan Jong-un.

Sehubungan itu, AS perlu menggunakan kaedah lain bagi menyakinkan Korea Utara untuk menghentikan program senjata nuklearnya dan satu daripadanya adalah AS serta negara sekutu perlu menawarkan deklarasi damai untuk menamatkan Perang Korea.

Langkah itu perlu dilakukan sebagai pertukaran untuk Jong-un bersetuju membekukan kesemua senjata nukelearnya secara tetap, selain perlu dipantau serta disah­kan oleh badan antarabangsa.

Sekiranya Pyongyang tidak bersetuju dengan kaedah tersebut, maka secara jelas menunjukkan negara itu tidak akan mengalah dengan program senjata nuklearnya dan mungkin perjanjian yang dipersetujui se­belum ini adalah satu usaha yang sia-sia.


Artikel berkaitan

Kirim komen anda

E-mel anda tidak akan dipaparkan. Sila isi tempat bertanda *

*

Quds cartoon 2018
We are All Zakzaky