Arab Saudi Akui 'Kesilapan Amat Besar'

Arab Saudi Akui 'Kesilapan Amat Besar'

Arab Saudi menyifatkan pembunuhan war­tawan Jamal Khashoggi di konsulatnya di Istanbul sebagai 'satu kesilapan yang amat besar' ketika krisis itu semakin buruk dan menyatakan bahawa Mohammed Salman tidak mengetahui tentang insiden berkenaan.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Arab Saudi menyifatkan pembunuhan war­tawan Jamal Khashoggi di konsulatnya di Istanbul sebagai 'satu kesilapan yang amat besar' ketika krisis itu semakin buruk dan menyatakan bahawa Mohammed Salman tidak mengetahui tentang insiden berkenaan.

Komen yang dibuat Menteri Luar, Adel al-Jubeir merupakan beberapa kenyataan langsung yang dibuat oleh Riyadh yang memberikan pelbagai versi tentang pembunuhan Jamal pada 2 Oktober dengan pada awalnya menafikan sebelum mengaku lelaki itu dibunuh.

“Ini merupakan 'operasi dilakukan penyangak', merujuk kepada tindakan dilakukan individu-individu yang melangkaui kuasa dan tanggungjawab mereka.

“Mereka melakukan kesilapan apabila membunuh Jamal Khashoggi di konsulat dan mereka cuba menyembunyikan perbuatan mereka,” katanya.

Setiausaha Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS), Stephen Mnuchin berkata, pengakuan Arab Saudi bahawa Jamal dibunuh semasa pergaduhan merupakan langkah yang baik tetapi alasan itu masih tidak cukup dan masih awal untuk membincangkan sekatan ke atas Riyadh.

Tiga negara Eropah, Jerman, Britain dan Perancis turut mendesak Arab Saudi untuk mengemukakan fakta sebenar dan Canselor Jerman, Angela Merkel berkata, Jerman tidak akan mengeksport senjata kepada Arab Saudi ketika nasib Jamal masih belum diketahui dengan jelas.

Semalam, Saudi Press Agency melaporkan bahawa pemerintah Arab Saudi, Raja Salman dan Putera Mahkota, Mohammed memanggil anak lelaki Jamal dan menyampaikan ucapan takziah.

Adel turut menghubungi dan merakamkan ucapan takziah beliau kepada keluarga Jamal yang merupakan pengkritik pentadbiran putera mahkota.

“Agak malang, kesilapan besar dan berat telah berlaku dan saya beri jaminan kepada mereka bahawa pihak terlibat bertanggungjawab di atas perbuatan mereka,” katanya kepada Fox.

Adel menambah, Riyadh tidak tahu bagaimana Jamal, seorang warganegara Arab Saudi dan pemilik taraf penduduk tetap AS dibunuh atau di mana mayatnya kini berada.

Menteri Luar itu menambah, Putera Mohammed juga tidak bersalah atas kehilangan wartawan berusia 59 tahun itu yang dilaporkan dicekik dalam pergaduhan sehingga mengakibatkan kematiannya.

“Tiada siapa yang membenarkan pembunuhan ini dilakukan dan kami mengutuk dengan sekeras-kerasnya apa yang berlaku.

“Masih terdapat keperluan mendesak untuk menjelaskan apa yang berlaku dan ia perlu disokong oleh fakta untuk dianggap kredibel,” kata Jerman, Britain dan Perancis dalam kenyataan bersama mereka.

Sementara itu, lima kakita­ngan Turki yang bekerja di konsulat Arab Saudi memberikan keterangan sebagai saksi siasatan pembunuhan Jamal Khashoggi, hari ini.

Stesen penyiar NTV melaporkan, sebanyak 20 pekerja konsulat memberikan kenyataan kepada pendakwa raya berkaitan dengan kejadian itu minggu lalu. – REUTERS


Artikel berkaitan

Kirim komen anda

E-mel anda tidak akan dipaparkan. Sila isi tempat bertanda *

*

conference-abu-talib
Mesej Haji 2018 Dari Pemimpin Tertinggi Iran
We are All Zakzaky