Arab Saudi Harap Sekatan Anti-Rusia Segera Ditamatkan

  • News Code : 859016
  • Source : ABNA24
Brief

Menteri Luar Arab Saudi, Adel al-Jubeir berkata bahawa sekatan Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah ke atas Rusia mungkin akan dimansuhkan di dalam masa yang terdekat.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Menteri Luar Arab Saudi, Adel al-Jubeir berkata bahawa sekatan Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah ke atas Rusia mungkin akan dimansuhkan di dalam masa yang terdekat.

"Kami berharap akan wujud kesepakatan di mana Rusia dan masyarakat antarabangsa boleh bekerjasama di dalam menyelesaikan perbezaan mereka sekaligus menamatkan sekatan yang sedia ada. Saya berharap perkara itu berlaku di dalam masa yang terdekat," kata Jubeir di dalam sebuah temu ramah dengan Russia TV pada hari Sabtu.

Barat telah memperkenalkan beberapa siri sekatan ke atas Rusia berikutan pengilhakan Crimea ke dalam persekutuan tersebut.

EU sebagai contoh telah menghalang kemasukan produk dari wilayah Crimea, menamatkan sebarang bentuk pelaburan serta pembelian hartanah oleh entiti Eropah di sana dan menghalang kapal persiaran daripada melakukan perhentian di wilayah tersebut.

Crimea mengisyhtiharkan kemerdekaan daripada Ukraine pada 17 Mac dan sejurus selepas itu membuat permohonan untuk menjadi sebahagian daripada wilayah Rusia. Majoriti besar daripada penduduk Crimea memilih untuk berpisah daripada Ukraine dan bersatu dengan Rusia di dalam sebuah referendum.

EU walau bagaimanapun menganggap perkembangan tersebut sebagai "pengilhakan tidak sah" sekaligus memperkenalkan beberapa siri sekatan ke atas Rusia.

Jubeir turut menegaskan bahawa Riyadh menganggap Moscow sebagai "negara sahabat" dan negara monarki mutlak itu turut berusaha untuk memperluaskan kerjasama dengan Rusia. Beliau juga memuji peranan Rusia di rantau Timur Tengah.

"Kami percaya bahawa hubungan kukuh di antara Arab Saudi dan Rusia mampu untuk merungkaikan pelbagai cabaran di rantau," kata beliau sambil menambah bahawa Riyadh percaya bahawa "peranan Rusia di Timur Tengah adalah sesuatu yang positif."

Beliau turut berkata bahawa Rusia juga mampu memainkan peranan penting di dalam solusi dua negara di Palestin.

"Kedua-dua pihak juga mahu melihat sebuah penyelesaian damai di dalam konflik Syria yang semestinya berasaskan deklarasi Geneva dan resolusi Majlis Keselamatan PBB," tambah beliau.

Jubeir turut berkata bahawa Riyadh beranggapan bahawa hubungan baik dengan Moscow tidak akan menjejaskan kerjasama mereka dengan Washington.

Kenyataan Menteri Luar Arab Saudi itu dibuat semasa lawatan rasmi Raja Salman ke Moscow; sebuah lawatan bersejarah memandangkan bahawa itu adalah kali yang pertama seorang raja kerajaan Arab tersebut melawati negara Rusia.

Rusia dan Arab Saudi dilihat berada di posisi bertentangan berhubung krisis di Syria. Rusia dengan permintaan Damsyik membantu kerajaan sah di Syria untuk membasmi keganasan yang berleluasa di sana. Akan tetapi, Riyadh pula secara terang-terangan menyokong kumpulan pembangkang yang menggunakan kekerasan untuk menjatuhkan Presiden Syria, Bashar al-Assad. -ABNA24

/315


Artikel berkaitan

Kirim komen anda

E-mel anda tidak akan dipaparkan. Sila isi tempat bertanda *

*

Mesej Haji 2017 Dari Pemimpin Tertinggi Iran
We are All Zakzaky
Telegram