AS Bekal Senjata RM433b Kepada Arab Saudi

  • News Code : 829606
  • Source : Berita Harian
Brief

Amerika Syarikat hampir memuktamadkan beberapa perjanjian membekalkan senjata kepada Arab Saudi membabitkan lebih AS$100 bilion (RM433.86 bilion), kata pegawai kanan Rumah Putih, seminggu sebelum Presiden Donald Trump dijadual berkunjung ke Riyadh.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Amerika Syarikat hampir memuktamadkan beberapa perjanjian membekalkan senjata kepada Arab Saudi membabitkan lebih AS$100 bilion (RM433.86 bilion), kata pegawai kanan Rumah Putih, seminggu sebelum Presiden Donald Trump dijadual berkunjung ke Riyadh.

Pegawai yang tidak mendedahkan nama itu berkata, pakej senjata berkenaan mungkin melebihi jumlah lebih AS$300 bilion (RM1.3 trilion) dalam tempoh sedekad yang bertujuan membantu Arab Saudi meningkatkan kemampuan pertahanan.

Namun, beliau menegaskan perbekalan senjata itu tetap tidak akan mengatasi kelebihan kualiti ketenteraan sekutu Amerika Syarikat, Israel.

"Kami di peringkat akhir beberapa perjanjian," kata pegawai itu.

Pakej persenjataan itu disediakan supaya seiring dengan kunjungan Trump ke Arab Saudi. Beliau akan ke negara itu pada 19 Mei ini dalam lawatan luar negara pertamanya sebagai Presiden.

Minggu lalu, Reuters melaporkan bahawa Washington mengusahakan beberapa kontrak penjualan senjata membabitkan nilai puluhan bilion dolar kepada Arab Saudi termasuk beberapa perjanjian baharu bersama perjanjian sedia ada, sebelum kunjungan Trump.

Amerika Syarikat adalah pembekal utama keperluan ketenteraan Arab Saudi daripada jet pejuang F-15 sehingga kepada sistem kawalan dan perintah bernilai berbilion dolar, beberapa tahun kebelakangan ini.

Trump juga sebelum ini berjanji untuk merangsang ekonomi Amerika Syarikat dengan merangsangkan pekerjaan sektor pengilangan.

"Kita akan mempunyai komitmen besar kebanyakannya bertujuan membina kemampuan mereka berdepan ancaman.

"Ia baik untuk ekonomi Amerika dan juga bagus dalam membina keupayaan bersesuaian dengan cabaran di rantau ini. Namun, Israel akan mengekalkan kelebihannya," kata pegawai itu. - Reuters


Artikel berkaitan

Kirim komen anda

E-mel anda tidak akan dipaparkan. Sila isi tempat bertanda *

*

We are All Zakzaky
Telegram