Bekas Diplomat Gesa Putrajaya Kaji Hubungan Dengan Arab Saudi

  • News Code : 870510
  • Source : Free Malaysia Today
Brief

Malaysia harus menentu ukur semula hubungan dengan Arab Saudi dan rantau Timur Tengah, kata seorang bekas duta.
Redzuan Kushairi berkata Malaysia harus mengambil pendekatan neutral dan tidak terlibat dalam politik dan konflik di rantau itu.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Malaysia harus menentu ukur semula hubungan dengan Arab Saudi dan rantau Timur Tengah, kata seorang bekas duta.

Redzuan Kushairi berkata Malaysia harus mengambil pendekatan neutral dan tidak terlibat dalam politik dan konflik di rantau itu.

“Mengambil dasar neutral akan membolehkan Malaysia sebagai sebuah kuasa pertengahan, sebuah negara Islam dan anggota OIC (Pertubuhan Kerjasama Islam) memainkan peranan yang boleh menyumbang ke arah usaha diplomatik dan mencari penyelesaian aman kepada konflik di rantau itu,” katanya kepada FMT.

Redzuan mengulas kenyataan penganalisis politik Ahmad Fauzi Abdul Hamid yang khuatir akan usaha Putrajaya mengukuhkan hubungan dengan Arab Saudi, dan berkata ia akan memberi kesan buruk jangka masa panjang ke atas bagaimana orang Melayu melihat agama mereka.

Redzuan berkata buat permulaan, Malaysia harus mengundurkan diri daripada sebarang pembabitan dengan Arab Saudi di Yaman.

“Jika usaha serantau gagal atau tiada, kerajaan harus menggesa Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mendesak perang ditamatkan dan mendesak usaha diplomatik dan perdamaian di Yaman,” katanya.

Redzuan menambah kerajaan harus memandang serius sebarang usaha ke arah pembentukan suatu “pakatan” membabitkan Amerika Syarikat, Israel dan Arab Saudi.
Selain itu, Redzuan berkata Malaysia harus mengkaji semula penubuhan Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman di negara ini.

“Berdasarkan sebab yang diberi Prof Fauzi, Malaysia harus memantau dengan dekat sokongan yang diberikan kepada sarjana Wahabi dari Arab Saudi dan aktiviti mereka, serta bantuan kewangan dari sumber daripada Arab Saudi kepada badan-badan agama serta badan lain dan individu di Malaysia.

“Saya percaya Indonesia sudah mengambil langkah-langkah itu di bawah presiden baharu dan oleh gerakan Nahdatul Ulama dan Muhammadiyah,” katanya.

Redzuan menambah Malaysia juga patut mengkaji semula dasar menghantar pelajar melanjutkan pengajian agama di Arab Saudi.

Fauzi, seorang profesor di Universiti Sains Malaysia, khuatir hubungan rapat pentadbiran Datuk Seri Najib Razak dengan rejim Saudi akan mengalakkan penyebaran idea Salafi di Malaysia.

Beliau berkata hubungan rapat itu berlaku di sebalik pelbagai bukti mengaitkan aliran Islam seperti diikuti di Arab Saudi dengan peningkatan ekstremisme di kalangan umat Islam.

“Ramai orang mengatakan amalan kebanyakan orang Melayu menjurus ke arah yang lebih keras dan orang Melayu adakala melakukannya tanpa sedar kerana itulah jenis Islam yang ditunjukkan kepada mereka dan disokong ulama kerajaan.”

Julai lalu, Najib mengumumkan kerajaan memperuntukkan 16ha tanah di Putrajaya untuk membina Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman kerana raja Saudi memilih Malaysia.

Antara matlamat institusi itu ialah memerangi ancaman terorisme.

Bagaimanapun, idea itu dikritik sesetengah pihak, termasuk pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan penceramah kontroversi Zamihan Mat Zin, yang mempersoalkan kelayakan Arab Saudi melawan terorisme.

Zamihan menyifatkan langkah itu sebagai tidak realistik manakala Pengarah Islamic Renaissance Front Dr Ahmad Farouk Musa berkata ia tidak masuk akal.

Baru-baru ini, Arab Saudi dan sekutu Timur Tengah memasukkan sebuah pertubuhan sarjana Islam antarabangsa yang juga dianggotai Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam senarai pengganas.

Penyenaraian itu menyusuli kritikan Hadi terhadap rejim Saudi kerana menjalin hubungan intim dengan Israel dan Amerika Syarikat.


Artikel berkaitan

Kirim komen anda

E-mel anda tidak akan dipaparkan. Sila isi tempat bertanda *

*

Mesej Haji 2017 Dari Pemimpin Tertinggi Iran
We are All Zakzaky
Telegram