Britain Bimbang Pembunuhan Penduduk Yaman

Britain Bimbang Pembunuhan Penduduk Yaman

Kerajaan Britain menyuarakan kebimbangan serius terhadap peningkatan bilangan mangsa awam ekoran tindakan agresif tentera Arab Saudi ke atas Yaman.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Kerajaan Britain menyuarakan kebimbangan serius terhadap peningkatan bilangan mangsa awam ekoran tindakan agresif tentera Arab Saudi ke atas Yaman.

Pun begitu, London mengambil pendekatan untuk tidak membatalkan perjanjian senjata dan aset ketenteraannya dengan Riyadh.

"Kerajaan menyatakan kebimbangan serius mengenai kehilangan nyawa di Yaman sepanjang bulan lalu.

"Dalam dua minggu pertama bulan Ogos sahaja, lebih daripada 400 orang awam terkorban termasuk kanak-kanak dan pelbagai lagi pelanggaran hak asasi manusia," menurut kenyataan Perdana Menteri Theresa May, semalam.

Sejak konflik tercetus pada Mac 2015, Riyadh telah menikmati sokongan tanpa syarat sekutu Baratnya dengan menyaksikan Angkatan Udara Diraja Saudi dan rakan serantaunya terus menyasarkan lokasi yang didakwa kedudukan Pergerakan Houthi Ansarullah di Yaman.

Pada 2 Ogos, sekurang-kurangnya 55 orang awam terbunuh selepas jet tempur diketuai Arab Saudi menyasarkan hospital dan pelabuhan perikanan di bandar pelabuhan Hudayda.

Seminggu selepas itu, tentera pakatan didakwa mengebom bas sekolah di wilayah Sa'ada.

Insiden berkenaan meragut 40 nyawa kanak-kanak dan 11 orang dewasa.

Minggu lalu, sebuah kumpulan penyiasat yang ditubuhkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata, semua pihak dalam konflik di Yaman mungkin bertanggungjawab terhadap jenayah perang.

Jenayah perang termasuk melakukan serangan udara yang mengakibatkan penduduk terkorban, keganasan seks secara berleluasa dan tindakan merekrut kanak-kanak muda sebagai tentera.

Dalam laporan pertamanya, sepasukan penyiasat yang diberi mandat oleh PBB berkata, mereka mempunyai sebab munasabah untuk mempercayai semua pihak dalam konflik perang di Yaman melanggar undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

Konflik di Yaman menyebabkan hampir 10,000 orang maut, sejak Mac 2015, selepas pakatan diterajui Arab Saudi campur tangan memerangi pemberontak Huthi yang menguasai kubu kuat terakhir kerajaan Presiden Abedrabbo Mansour Hadi. - AFP/Press TV


Artikel berkaitan

Kirim komen anda

E-mel anda tidak akan dipaparkan. Sila isi tempat bertanda *

*

mourning-of-imam-hussain
Mesej Haji 2018 Dari Pemimpin Tertinggi Iran
We are All Zakzaky