Gencatan Senjata Bakal Berlaku Di Gaza?

Gencatan Senjata Bakal Berlaku Di Gaza?

Tentera Israel me­nembak mati dua rakyat Palestin dan mencederakan sekurang-kurangnya 220 lagi dalam satu tunjuk perasaan yang diadakan di sepanjang sempadan Gaza, ketika para diplomat Palestin berusaha mengadakan satu gencatan senjata yang berpanjangan dengan rejim Zionis.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Tentera Israel me­nembak mati dua rakyat Palestin dan mencederakan sekurang-kurangnya 220 lagi dalam satu tunjuk perasaan yang diadakan di sepanjang sempadan Gaza, ketika para diplomat Palestin berusaha mengadakan satu gencatan senjata yang berpanjangan dengan rejim Zionis.

Sejak lebih empat bulan lalu, tunjuk perasaan yang dilakukan setiap Jumaat di Gaza meskipun bilangan berkurangan sejak kebelakangan ini, penganjur tetap berikrar akan meneruskannya sehingga Israel menarik balik sekatan ekonomi di wilayah terkepung itu.

Sekurang-kurangnya 8,000 pen­­duduk Gaza terlibat dalam tunjuk perasaan itu di lima lokasi di sepanjang sempadan kedua-dua wilayah.

Jurucakap hospital Gaza ber­kata, sebanyak 220 orang ce­dera dengan 90 daripadanya akibat terkena peluru hidup. Mangsa yang terbunuh adalah seorang lelaki berusia 25 tahun dan seorang remaja berusia 15 tahun, Muadh al-Suri yang meninggal dunia akibat luka tembakan di perut.

Sekurang-kurangnya 156 penduduk Palestin terbunuh dalam tunjuk perasaan di sempadan de­ngan seorang askar Israel maut akibat ditembak penembak tepat Palestin.

Selain itu, Israel kehilangan banyak ladang dan hutan akibat kebakaran yang berpunca daripada layang-layang dan belon yang membawa bom api diterbangkan dari Gaza.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu membatalkan lawatannya ke Colombia minggu depan dan dijangka berunding dengan barisan Kabinetnya, esok tentang cadangan menghentikan ketegangan di sempadan.

Beberapa pegawai tertinggi Hamas termasuk timbalan ketuanya, Saleh al-Arouri telah tiba di Mesir, kelmarin bagi membincangkan kemungkinan perjanjian tetapi tiada butiran tentang perkara itu didedahkan.

“Perwakilan itu akan membincangkan isu melibatkan kepenti­ngan rakyat Palestin terutamanya bagi mencapai perdamaian negara dan menghentikan sekatan di Gaza,” kata jurucakap Hamas, Fawzi Barhoum.

Sementara itu, tentera Laut Israel memintas sebuah bot dinaiki aktivis Palestin yang didakwa menceroboh sekatan oleh pihak rejim ke atas Gaza, insiden kedua dalam tempoh kurang seminggu.

Tentera Israel dalam satu kenya­taan berkata, kapal yang dinamakan Freedom for Gaza itu dipantau dan dipintas selaras dengan undang-undang antarabangsa.

Sebanyak 12 orang aktivis yang berada di dalam bot itu kemudiannya dibawa ke pelabuhan Ashdod dekat Israel.– REUTERS/AFP


Artikel berkaitan

Kirim komen anda

E-mel anda tidak akan dipaparkan. Sila isi tempat bertanda *

*

Quds cartoon 2018
We are All Zakzaky