Guatemala Umum Pindah Kedutaan Ke Baitulmaqdis

Guatemala Umum Pindah Kedutaan Ke Baitulmaqdis

Guatemala mengumumkan keputusannya untuk memindahkan kedutaannya di Israel ke Baitulmaqdis, iaitu beberapa hari selepas kerajaan negara itu menyatakan sokongannya terhadap Amerika Syarikat berhubung status bandar itu.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Guatemala mengumumkan keputusannya untuk memindahkan kedutaannya di Israel ke Baitulmaqdis, iaitu beberapa hari selepas kerajaan negara itu menyatakan sokongannya terhadap Amerika Syarikat berhubung status bandar itu.

Berita itu diumumkan oleh Presiden Guatemala, Jimmy Morales dalam satu mesej ringkas di Facebook.

Morales berkata, keputusan untuk memindahkan Kedutaan Guatemala dari Tel Aviv dibuat selepas mengadakan perbincangan dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, semalam.

Ia berikutan keputusan Presiden Donald Trump mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel, sekali gus menamatkan dasar yang diamalkan Washington sejak berdekad lalu, selain menimbulkan bantahan dunia Arab dan sekutu Barat.

Status Baitulmaqdis adalah penghalang utama perjanjian damai antara Israel dan Palestin, yang mahu menjadikan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negaranya.

Masyarakat antarabangsa tidak mengiktiraf hak kedaulatan Israel ke atas seluruh Baitulmaqdis, yang dianggap kota suci penganut agama Islam, Kristian dan Yahudi.

Pada Khamis lalu, 128 negara menyokong resolusi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) yang mendesak Amerika Syarikat supaya menarik balik pengiktirafan yang diberikan terhadap Baitulmaqdis.

Guatemala dan jirannya, Honduras adalah antara sembilan negara yang membantah resolusi itu, selain Amerika Syarikat serta Israel.

Trump sebelum itu mengancam untuk menarik balik bantuan kepada mana-mana negara yang menyokong resolusi UNGA itu dan Amerika Syarikat adalah negara penyumbang bantuan utama terhadap kepada Guatemala serta Honduras. - Reuters


Artikel berkaitan

Kirim komen anda

E-mel anda tidak akan dipaparkan. Sila isi tempat bertanda *

*

mourning-of-imam-hussain
Mesej Haji 2018 Dari Pemimpin Tertinggi Iran
We are All Zakzaky