Hizbullah Tawan Sebahagian Besar Jajahan IS Di Sempadan Syria-Lubnan

  • News Code : 850427
  • Source : Free Malaysia Today
Brief

Hizbullah menawan sebahagian besar jajahan IS antara sempadan Syria dan Lubnan dalam serangan bersama tentera negara itu, kata pemimpinnya pada Khamis.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Hizbullah menawan sebahagian besar jajahan IS antara sempadan Syria dan Lubnan dalam serangan bersama tentera negara itu, kata pemimpinnya pada Khamis.

Selari dengan pertempuran itu, perbincangan mengenai gencatan senjata telah bermula dengan IS tetapi kelihatan tentera akan menang, kata Hassan Nasrallah dalam temu bual di televisyen.

Tentera Syria dan Hizbullah yang disokong Iran berjuang untuk menggulingkan IS dari wilayah Qalamoun di barat Syria.

Serangan itu bermula minggu lepas, sama dengan serangan tentera Lubnan terhadap IS di sempadannya di timur laut Lubnan.

Zon garis sempadan adalah bahagian akhir sempadan Lubnan-Syria di bawah kawalan militan.

Kedua-dua serangan terarah ke sempadan dari arah bertentangan.

Tentera Lubnan berkata mereka tidak menyelaraskan serangan dengan tentera Syria atau puak syiah Hizbullah, yang mana Washington mengklasifikasikannya sebagai kumpulan pengganas.

Mana-mana operasi bersama tentera Lubnan di satu pihak dan Hizbullah dengan tentera Syria di pihak yang lain akan menjadi isu politik sensitif di Lubnan dan boleh menjejaskan bantuan ketenteraan yang besar oleh Amerika Syarikat.

Pertempuran sempadan itu mendekati “kemenangan yang sangat besar”, kata Nasrallah.

“Setakat ini, lebih 270 km persegi ditawan sepenuhnya di Syria oleh Hizbullah dan tentera Syria, manakala kira-kira 40 km persegi kekal di bawah kawalan IS katanya,” katanya.

IS baru-baru ini ditimpa kekalahan di Iraq dan Syria. Meraka kehilangan jajahan di Syria oleh pelbagai musuh berasingan sejak beberapa tahun lalu dan wilayah Deir al-Zor timur adalah jajahan terakhir mereka bertapak.

Hizbullah memainkan peranan penting dalam memerangi militan Sunni di sepanjang sempadan, dan menghantar beribu-ribu pejuang ke Syria untuk menyokong kerajaan Presiden Bashar al-Assad terhadap kumpulan pemberontak Syria.

Awal bulan ini, militan Nusra Front meninggalkan wilayah sempadan Lubnan di bawah perjanjian pemindahan setelah Hizbullah mengarahkan mereka meninggalkan jajahan terakhir mereka di sana. Beribu-ribu pelarian juga berhijrah ke wilayah pemberontak di Syria.

Timur Laut Lubnan menyaksikan satu serangan yang paling buruk perang Syria ke atas Lubnan pada 2014, ketika militan IS dan Nusra Front menawan bandar sempadan Arsal.

Nasib 9 askar Lubnan yang ditawan IS tidak diketahui.

Pemimpin IS di barat Qalamoun Syria meminta rundingan, kata Nasrallah pada Khamis.

“Syarat pertama mana-mana perjanjian dicapai dengan IS akan mendedahkan nasib tentara Lubnan,” tambahnya.

Jika Lubnan ingin berunding tentang perjanjian pemindahan dengan militan IS di pihaknya sendiri, Damsyik bersedia untuk bekerjasama, kata Nasrallah.

“Tetapi syarat itu adalah permintaan rasmi dari Lubnan, dan koordinasi awam, bukan rundingan bawah meja,” katanya.

Hizbullah dan sekutunya menekan Lubnan untuk menormalkan hubungan dengan Damsyik, mencabar dasar berkecuali negara itu terhadap konflik di negara sebelah.

Peranan Hizbullah dalam konflik Syria selama 6 tahun mendapat kritikan dari lawan politiknya termasuk pemimpin Sunni dan Perdana Menteri Saad al-Hariri.


Artikel berkaitan

Kirim komen anda

E-mel anda tidak akan dipaparkan. Sila isi tempat bertanda *

*

mourning-of-imam-hussain
Mesej Haji 2017 Dari Pemimpin Tertinggi Iran
We are All Zakzaky
Telegram