Israel Tambah Derita Palestin

Israel Tambah Derita Palestin

Penduduk Palestin terutamanya di Semenanjung Gaza semakin dihimpit kesusahan dan berdepan pelbagai penderitaan susulan tindakan Israel menyekat lebih 1,000 jenis barangan keperluan asas daripada dibawa masuk ke wilayah itu.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Penduduk Palestin terutamanya di Semenanjung Gaza semakin dihimpit kesusahan dan berdepan pelbagai penderitaan susulan tindakan Israel menyekat lebih 1,000 jenis barangan keperluan asas daripada dibawa masuk ke wilayah itu.

Al-Jazeera melaporkan, antara barangan itu termasuk bekalan persekolahan, peralatan perubatan, alat jana kuasa dan basikal kanak-kanak yang pada dasarnya tidak mendatangkan sebarang ancaman kepada mana-mana pihak.

Ahli Parlimen Pakistan me­rangkap Ketua Jawatankuasa Hentikan Kepungan Gaza dan penganjur program tersebut, Jamal al-Khoudary berkata, pameran itu diadakan bertujuan mendedahkan kesengsaraan yang dialami oleh penduduk Palestin terutamanya di Gaza ketika ini.

“Kami ingin tunjuk kepada dunia mengenai bantuan kemanusiaan yang disekat oleh Israel daripada memasuki Gaza. Gaza menjadi tempat tinggal kira-kira dua juta penduduk Palestin dan pernah disifatkan sebagai ‘penjara terbuka’ paling besar di dunia,” katanya.

Dalam tempoh 12 tahun berdepan sekatan Israel, ekonomi Gaza semakin merudum dengan menyaksikan kira-kira 30,000 penduduknya tidak memiliki pekerjaan.

Wilayah itu juga berdepan ma­salah kekurangan bekalan elek­­trik sehingga menyebabkan penduduknya terpaksa bergantung kepada alat penjana kuasa dan adakalanya mereka hanya dibekalkan dengan elektrik selama dua jam setiap hari.

Pameran itu memperlihatkan beberapa barangan lain yang disekat daripada mema­suki wilayah tersebut termasuk gaun pengantin, span pencuci, botol susu dan lampin pakai buang yang sememangnya menjadi keperluan terpenting untuk golongan kanak-kanak Palestin.

Kesemua barangan tersebut tidak dibenarkan dibawa masuk ke Palestin sejak Israel menutup kawasan sempadan Karem Abu Salem yang me­rentasi Semenanjung Gaza pada bulan lalu.

Israel hanya membenarkan bantuan kemanusiaan seperti minyak masak, tepung dan gandum dibawa masuk ke Gaza, namun keadaan tersebut tidak bertahan lama apabila rejim Zio­nis turut menyekat kemasukan barangan berkenaan.

Keadaan itu secara tidak langsung menyebabkan penduduk Gaza semakin tertekan dan hidup dalam serba kekurangan, selain banyak perniagaan tempatan terpaksa gulung tikar dan proses eksport menjadi perlahan.

Dalam pada itu, Jamal me­mak­lumkan bahawa kira-kira 3,000 trak yang membawa ke­perluan asas di­sekat daripada memasuki Gaza di kawasan sempadan sejak dua ming­gu lepas.

“Semua ini adalah rancangan Israel untuk memusnahkan Gaza. Pertama, mereka kepung wilayah ini dan kini, Israel menyekat pelba­gai barangan ke­perluan untuk me­­nindas kami,” jelasnya.

Terdahulu, Menteri Pertahanan Israel, Avigdor Lieberman memberitahu, langkah menutup laluan tersebut termasuk sekatan terhadap bekalan keperluan asas adalah sebagai tindak balas berhubung tindakan penduduk Palestin memulakan kebakaran di wilayah Israel sejak kebelaka­ngan ini.


Artikel berkaitan

Kirim komen anda

E-mel anda tidak akan dipaparkan. Sila isi tempat bertanda *

*

Mesej Haji 2018 Dari Pemimpin Tertinggi Iran
We are All Zakzaky