Keamanan Kembali Di Sana'a

  • News Code : 870739
  • Source : ABNA24
Brief

Majlis Politik Tertinggi Yaman yang mengawal urusan negara berkata bahawa situasi di ibu kota Sana'a kini kembali aman selepas penduduk awam bandar itu menyaksikan pertempuran ganas selama beberapa hari di antara pasukan yang setia kepada bekas Presiden Ali Abdullah Saleh dan pejuang Houthi.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Majlis Politik Tertinggi Yaman yang mengawal urusan negara berkata bahawa situasi di ibu kota Sana'a kini kembali aman selepas penduduk awam bandar itu menyaksikan pertempuran ganas selama beberapa hari di antara pasukan yang setia kepada bekas Presiden Ali Abdullah Saleh dan pejuang Houthi.

Di dalam sebuah kenyataan yang dikeluarkan pada hari Sabtu, ketua majlis tersebut, Saleh Ali al-Sammad memanggil kesemua warga awam, parti politik dan kabilah-kabilah Yaman untuk bersabar dan menjauhkan diri daripada "konspirasi" yang dicipta untuk meningkatkan ketegangan.

"Perkhidmatan keselamatan meneruskan usaha mereka untuk memperbaiki keselamatan, kestabilan dan dalam masa yang sama menangani mereka yang cuba membawa ketidakstabilan dengan serius," kata Sammad.

Mengekalkan keamanan dan keselamatan warga awam di Sana'a yang turut menjadi simbol kehormatan warga Yaman secara umumnya adalah isu strategik bagi Majlis Politik Tertinggi negara ini, tambah beliau.

Pegawai Yaman itu turut menggesa warga awam Yaman yang "bijak" untuk bekerjasama dengan kumpulan kebangsaan dan politik negara itu dalam rangka mengekalkan kestabilan di sana.

Beliau turut mengungkapkan kekesalannya berhubugng perkembangan terkini di Yaman yang menurutnya telah menambahkan lagi penderitaan warga awam yang sudahpun tertekan dengan keganasan pakatan pimpinan Riyadh.

"Setiap peribadi, orang bijak dan warga awam perlu mengamalkan displin yang tinggi dan menanggung dan mengambil tanggungjawab pada tahap ini untuk menyelamatkan negara ini daripada ketegangan dan konflik," rumus beliau.

Pasukan tentera yang setia kepada Ali Abdullah Salleh sebelum ini bekerjasama dengan para pejuang Gerakan Ansarullah Houthi dalam menghadapi kempen ganas pakatan yang diketuai oleh Arab Saudi. Akan tetapi, kedua-dua pihak tersebut kini sedang bertembung di antara satu sama lain di dalam sebuah konflik bersenjata di ibu kota Sana'a sepanjang beberapa hari lepas.

Dilaporkan bahawa tindakan Ali Abdullah Saleh yang bercakap di dalam kaca televisyen dengan menggesa pakatan yang diketuai oleh Arab Saudi untuk "membuka lembaran baharu" di dalam hubungan di antara pihak bertelagah telah mencetuskan kemarahan di kalangan pejuang Houthi.

Beliau turut menggesa pakatan itu untuk menghentikan serangan ke atas pejuang Houthi dan menamatkan sekatan ke atas negara tersebut dalam rangka membina hubungan yang baharu.

"Kami berikrar kepada saudara dan jiran kami bahawa selepas gencatan senjata dipersetujui dan sekatan ditamatkan... kami akan memulakan dialog melalui pihak berkuasa yang diwakili oleh parlimen kami," kata Saleh

Ketika memberi respon kepada ucapan Saleh, Pakatan yang diketuai Arab Saudi menyatakan keyakinan mereka bahawa beliau akan kembali ke pangkuan saudara Arabnya. Akan tetapi, mereka juga menuduh beliau mengkhianati tetangga Yaman dengan bekerjasama dengan Gerakan Ansarullah Houthi.

Gerakan Houthi kemudiannya membalas kenyataan Saleh dengan menuduh beliau melakukan penipuan. -ABNA24

/315


Artikel berkaitan

Kirim komen anda

E-mel anda tidak akan dipaparkan. Sila isi tempat bertanda *

*

Mesej Haji 2017 Dari Pemimpin Tertinggi Iran
We are All Zakzaky
Telegram