Kebanyakan Peluru Berpandu Israel Ditembak Jatuh: Syria

Kebanyakan Peluru Berpandu Israel Ditembak Jatuh: Syria

Pemerintah Tentera Syria mengatakan bahawa sistem pertahanan udara negara Arab itu telah berjaya memintas dan memusnahkan sebahagian besar daripada roket Israel yang menyasarkan pangkalan tentera negara tersebut.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Pemerintah Tentera Syria mengatakan bahawa sistem pertahanan udara negara Arab itu telah berjaya memintas dan memusnahkan sebahagian besar daripada roket Israel yang menyasarkan pangkalan tentera negara tersebut.

Jurucakap tentera pada hari Khamis berkata dalam satu kenyataan di saluran televisyen kebangsaan bahawa serangan terkini rejim Israel ini telah memusnahkan stesen radar dan depot simpanan senjata negara Arab tersebut, tanpa memberikan penjelasan rinci berhubung lokasi sasaran itu.

Serangan Israel terhadap Syria juga mengorbankan tiga orang dan mencederakan beberapa yang lain, terang kenyataan itu.

Kejayaan ini menunjukkan "kewaspadaan pihak tentera dan kesediaan mereka untuk mempertahankan kedaulatan tanah air terhadap sebarang bentuk pencerobohan," katanya sambil menekankan bahawa segala percubaan untuk mendukung keganasan di negara itu akan terbukti sia-sia belaka.

Sementara itu, Kementerian Pertahanan Rusia mengatakan bahawa Israel telah menerbangkan 28 pesawat tempur di dalam serangan ke atas Syria itu dan melancarkan 70 buah peluru berpandu, sambil menambah bahawa Damsyik telah menembak lebih separuh daripada peluru berpandu yang dilancarkan itu.

Pada awal hari Khamis, Israel menyerang berpuluh-puluh sasaran di dalam wilayah Syria di dalam apa yang dikatakan sebagai serangan yang paling meluas di negara Arab tersebut sepanjang beberapa dekad ini.

Rejim Tel Aviv mendakwa bahawa serangannya adalah tindak balas terhadap 20 roket yang dilepaskan dari Syria ke atas beberapa pos tentera Israel di Tebing Golan. Rejim tersebut juga secara terbuka menyalahkan Republik Islam Iran berikutan serangan tersebut.

Warga Syria Tidak Berganjak

Video yang dikeluarkan oleh Reuters pada Khamis lalu menunjukkan warga awam Syria keluar membeli-belah di kawasan kejiranan Damsyik sambil menyatakan bahawa mereka sama sekali tidak merasa takut walaupun selepas serangan besar-besaran Israel ke atas negara Arab itu sejak militansi yang didukung oleh kuasa asing mula tercetus di sana.

Seorang warga Damysik turut berkata bahawa mereka telah berdiri di atas bumbung rumahnya untuk melihat bagaimana sistem pertahanan udara Syria menembak dan memintas peluru berpandu Israel sambil meraikan "pencapaian tentera" itu. Sementara itu, seorang pegawai tentera yang telah bersara dipetik oleh Reuters sebagai berkata bahawa Syria harus sentiasa bersedia untuk memberikan tindak balas berpatutan apabila diserang tanpa mengira betapa sukarnya perkara itu.

Kementerian Luar: Serangan Israel menandakan 'fasa baru' dalam krisis Syria

Sementara itu, Kementerian Luar Syria secara berasingan pada hari Khamis, mengatakan bahawa serangan udara terkini Israel ke atas wilayahnya menandakan "fasa baru" dalam konflik itu berdarah di negara tersebut.

Sumber rasmi memberitahu agensi berita SANA Syria bahawa pendekatan agresif yang diguna pakai oleh rejim Zionis Israel adalah tindak-balas mereka terhadap kekalahan yang menimpa kumpulan pengganas anti-Damsyik.

Tingkah laku rejim Israel akan hanya meningkatkan ketegangan serantau dan membahayakan keamanan dan keselamatan antarabangsa, kata pegawai yang tidak dinamakan itu.

"Pencerobohan langsung erejim Zionis dan pendukungnya menandakan bahawa fasa baru pencerobohan terhadap Syria telah bermula dengan memperlihatkan penglibatan musuh asebenar setelah kekalahan proksi mereka," kata sumber itu.

Hamas: Pencerobohan Israel bukti ke atas kegiatan keganasan rejim

Sementara itu, Gerakan Hamas Palestin pada hari Khamis turut mengutuk pencerobohan Israel terhadap Syria dan menunjukkannya sebagai bukti terhadap kegiatan keganasan rejim.

Hamas di dalam sebuah kenyataan berkata bahawa ia menganggap "serangan ketenteraan penceroboh Israel ke atas wilayah Syria sebagai bukti lebih lanjut mengenai tindakan keganasan mereka di rantau ini sekaligus menimbulkan ancaman ke atas perdamaian dan kestabilan rantau Timur Tengah."

Kumpulan yang berpusat di Gaza itu juga menekankan hak negara-negara berdaulat untuk "mempertahankan tanah mereka dan bertindak-balas seperlunya ke atas sebarang bentuk pencerobohan yang dilakukan oleh mereka."

Ia juga menggesa negara-negara Islam dan Arab untuk "menyatukan dan mendedikasikan usaha serta keupayaan mereka untuk menghalang dan mempertahankan diri daripada ancaman yang bertujuan untuk membubarkan perjuangan Palestin dan menjejaskan kestabilan rantau ini."


Artikel berkaitan

Kirim komen anda

E-mel anda tidak akan dipaparkan. Sila isi tempat bertanda *

*

Mesej Haji 2018 Dari Pemimpin Tertinggi Iran
We are All Zakzaky