Ketua Penyiasat Saudi Tiba Di Istanbul

Ketua Penyiasat Saudi Tiba Di Istanbul

Ketua pendakwa raya Arab Saudi bertemu dengan rakan sejawatannya di Istanbul, hari ini untuk membincangkan tentang siasatan pembunuhan wartawan terkenal, Jamal Khashoggi.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Ketua pendakwa raya Arab Saudi bertemu dengan rakan sejawatannya di Istanbul, hari ini untuk membincangkan tentang siasatan pembunuhan wartawan terkenal, Jamal Khashoggi.

Agensi berita Anadolu melaporkan Peguam Negara, Sheikh Saud al-Mojeb yang merupakan ketua penyiasat Saudi mengadakan pertemuan selama kira-kira 75 minit dengan Ketua Pendakwa Raya Istanbul, Irfan Fidan di bandar Caglayan.

Minggu lalu, Mojeb mengakui pembunuhan itu telah dirancang terlebih dahulu berdasarkan bukti diperoleh Ankara.

Beliau dijangka memeriksa konsulat Saudi di mana pengkritik lantang Putera Mahkota, Mohammed Salman itu dibunuh ketika mahu menguruskan dokumen perkahwinannya pada 2 Oktober lalu.

Sementara itu, Menteri Luar Turki, Mevlut Cavusoglu berkata, kerjasama untuk berkongsi maklumat siasatan itu perlu diteruskan.

"Siasatan itu perlu diselesaikan secepat mungkin. Jadi, segala kebenaran akan terbongkar," ujarnya.

Ketika ditanya tentang lokasi mayat Khashoggi, Cavusoglu memberitahu penyiasat Turki telah melakukan carian di kawasan hutan berhampiran Istanbul dan menggunakan tangan robotik untuk memeriksa parit sekitar konsulat itu, namun gagal menemui apa-apa.

Sebelum ini, media tempatan melaporkan pihak berkuasa Saudi tidak membenarkan polis Turki lakukan pemeriksaan dalam perigi di kawasan konsulat itu dan hanya memberi kebenaran kepada mereka mengambil sampel air untuk dianalisis.

Semalam, Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat, Jim Mattis memaklumkan Menteri Luar Saudi, Adel al-Jubeir memberi jaminan Riyadh akan melakukan siasatan penuh terhadap kejadian itu malah beliau juga yakin dengan bukti ditemui Ankara. - AFP


Artikel berkaitan

Kirim komen anda

E-mel anda tidak akan dipaparkan. Sila isi tempat bertanda *

*

Mesej Haji 2018 Dari Pemimpin Tertinggi Iran
We are All Zakzaky