Mina Basaran Antara Korban Pesawat Terhempas

Mina Basaran Antara Korban Pesawat Terhempas

Anak perempuan ahli perniagaan terkenal Turki, Mina Basaran, adalah antara 11 mangsa yang dilaporkan terbunuh, selepas pesawat Bombardier Challenger 604 yang dinaiki terhempas di kawasan pergunungan di Zagros, semalam.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Anak perempuan ahli perniagaan terkenal Turki, Mina Basaran, adalah antara 11 mangsa yang dilaporkan terbunuh, selepas pesawat Bombardier Challenger 604 yang dinaiki terhempas di kawasan pergunungan di Zagros, semalam.

Yang turut terkorban, tiga anak kapal, termasuk dua juruterbang wanita pesawat itu yang dipercayai dimiliki oleh Basaran Holding, iaitu syarikat yang diterajui bapa mangsa, Huseyin.

Ketika kejadian, pesawat persendirian itu dalam perjalanan menuju Istanbul dari Sharjah, selepas Mina dan tujuh lagi rakannya bercuti di Emiriah Arab Bersatu (UAE), bagi meraikan majlis perkahwinannya.

Media tempatan Turki melaporkan, Mina, 28, bertunang pada Oktober lalu dan percutian di UAE bersama rakannya diadakan sebelum beliau menamatkan zaman bujangnya.

Malah, mereka dilaporkan memuat naik gambar percutian di Dubai itu di media sosial sehari sebelum kejadian.

Sementara itu, Mina dilantik menganggotai lembaga pengarah syarikat miliknya bapanya pada 2013.

Syarikat yang berpangkalan di Istanbul itu dilaporkan terbabit dalam sektor tenaga, pembinaan dan pelancongan, serta memiliki beberapa hotel.

Jabatan Penerbangan Awam Sharjah, dalam satu kenyataan, menyatakan pesawat itu tidak memohon prosedur penyenggaraan ketika berada di lapangan terbang itu.

"Pesawat itu berlepas pada jam 5.16 petang (waktu tempatan) dan didapati hilang dari skrin radar pada jam 7.30 malam (waktu tempatan)," lapor agensi berita WAM yang memetik kenyataan Jabatan Penerbangan Awam Sharjah.

Walaupun punca kejadian masih belum diketahui, namun menurut beberapa laporan insiden berlaku ketika hujan lebat. - AFP


Kirim komen anda

E-mel anda tidak akan dipaparkan. Sila isi tempat bertanda *

*

Arba'een
mourning-of-imam-hussain
Mesej Haji 2018 Dari Pemimpin Tertinggi Iran
We are All Zakzaky