Palestin ‘Intai’ Peranan EU, Rusia

Palestin ‘Intai’ Peranan EU, Rusia

Para diplomat Palestin sekali lagi menegaskan sedang berusaha mendapatkan bantuan Kesatuan Eropah (EU) dan Rusia bagi menggantikan peranan utama yang selama ini dimainkan oleh Amerika Syarikat (AS) sebagai ‘orang tengah’ dalam rundingan damai dengan Israel.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Para diplomat Palestin sekali lagi menegaskan sedang berusaha mendapatkan bantuan Kesatuan Eropah (EU) dan Rusia bagi menggantikan peranan utama yang selama ini dimainkan oleh Amerika Syarikat (AS) sebagai ‘orang tengah’ dalam rundingan damai dengan Israel.

Perkara itu didedahkan oleh Duta Besar Palestin ke United Kingdom (UK), Manuel Hassassian dalam temu bual dengan portal berita Arab News.


Menurutnya, langkah itu dilakukan susulan tindakan Pre­siden AS, Donald Trump mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel selain keputusan untuk mengurangkan pembiayaan kepada agensi bantuan pelarian Palestin yang jelas menunjukkan kecenderungan pro-Israel.

“Rundingan antara Ketua Diplomatik EU, Federica Mogherini dan Presiden Palestin, Mahmoud Abbas di Forum Ekonomi Dunia (WEF) di Davos, Switzerland baru-baru ini adalah sebahagian daripada taktik diplomatik baharu.

“Palestin berharap untuk melihat penyertaan lanjut oleh EU dalam rundingan dengan Israel dan usaha itu telah mendapat sokongan Brussels,” jelasnya.

Beliau mengakui AS masih mempunyai peranan dalam perbincangan masa depan mengenai isu tersebut namun tidak lagi memegang monopoli proses politik di Asia Barat.

“Gaya pentadbiran Trump telah mengganggu kepemimpinan Palestin. Beliau berurusan dengan kami seolah-olah kami ini adalah perusahaan perniagaan kecil.

“Tetapi pihak-pihak lain yang kurang terlibat dalam rundingan itu dilihat telah menggunakan pendekatan yang lebih adil. Rusia sebagai contoh, telah mengekalkan keseimbangan dalam isu ini dan mereka menganggap kami sebagai sebuah negara,” katanya.

Mahmoud akan membuat lawatan ke Moscow untuk bertemu Presiden Rusia, Vladimir Putin dalam tempoh terdekat selepas Putin dilaporkan menghubungi pemimpin Palestin itu untuk menyatakan sokongan terhadap rundingan mengenai status Baitulmuqaddis.

Sementara itu, pimpinan tertinggi Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) dilaporkan sedang mengkaji untuk menggantung pengiktirafan terhadap Israel.

Jawatankuasa Eksekutif PLO mengeluarkan kenyataan selepas mesyuarat selama tiga jam semalam mengatakan badan itu akan menubuhkan sebuah jawatankuasa untuk mengkaji langkah pengiktirafan itu.

Jawatankuasa itu turut mendesak Mahmoud segera me­mulakan penyediaan rancangan dan projek untuk langkah penangguhan dengan Israel di peringkat politik, pentadbiran, ekonomi dan keselamatan.

Dalam perkembangan lain, tentera Israel menembak mati seorang remaja Palestin berusia 19 tahun ketika serbuan di perkampungan Burqa di Tebing Barat semalam.

Seorang saksi berkata, lebih 200 warga Palestin membaling batu ke arah kenderaan tentera Israel dan Kementerian Kesihatan mengesahkan mangsa meninggal dunia akibat ditembak di kepala.

Jurucakap tentera Zionis berkata, rusuhan berlaku ketika tentera menahan beberapa suspek yang mempunyai kaitan dengan insiden tembakan membabitkan seorang paderi Yahudi sebelum ini. – REUTERS/AFP


Artikel berkaitan

Kirim komen anda

E-mel anda tidak akan dipaparkan. Sila isi tempat bertanda *

*

Arba'een
mourning-of-imam-hussain
Mesej Haji 2018 Dari Pemimpin Tertinggi Iran
We are All Zakzaky