Pegawai Iran Dan A.S Tidak Akan Bertemu Di New York: Menteri Luar Iran

Pegawai Iran Dan A.S Tidak Akan Bertemu Di New York: Menteri Luar Iran

Menteri Luar Republik Islam Iran, Mohammad Javad Zarif telah menafikan laporan media tentang kemungkinan pertemuan di antara pegawai Iran dan Amerika Syarikat di luar mesyuarat Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang akan datang.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Menteri Luar Republik Islam Iran, Mohammad Javad Zarif, telah menafikan laporan media tentang kemungkinan pertemuan di antara pegawai Iran dan Amerika Syarikat di luar mesyuarat Perhimpunan Agung PBB yang akan datang.

Ditanya mengenai kemungkinan pertemuan seperti itu berlangsung di New York, Zarif memberitahu agensi berita Tasnim pada hari Sabtu bahawa tidak akan ada pertemuan sedemikian.

"Tidak. Tiada mesyuarat dijangka berlaku," katanya.

Kenyataan itu datang beberapa hari selepas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, menyatakan kesediaan beliau untuk mengadakan perbincangan dengan para pegawai Iran "pada bila-bila masa yang mereka mahukan."

Bercakap di sebuah sidang media anjuran Rumah Putih pada 30 Julai lepas, Trump berkata, "Saya pasti akan bertemu dengan Iran jika mereka mahu bertemu (dengan kami)."

Ditanya sama ada beliau mempunyai sebarang prasyarat untuk pertemuan seperti itu, Presiden Amerika Syarikat itu kemudiannya menjawab dengan mengatakan, "Tiada prasyarat. Sekiranya mereka mahu berjumpa, saya akan berjumpa (dengan mereka)."

Tawaran itu dibuat beberapa hari selepas Trump mengancam Iran di dalam sebuah 'tweet' yang ditujukan kepada Presiden Hassan Rouhani dan berkata, "Anda akan mengalami akibat seperti yang sedikit sekali (orang) pernah menderitainya sepanjang sejarah sebelum ini."

Di tempat lain di dalam komen yang dibuat pada hari Sabtu, Zarif menegaskan bahawa Iran telah menyatakan pendirian mereka berhubung tawaran Trump baru-baru ini.

"Para pegawai Amerika Syarikat tidak jujur, selain daripada itu mereka turut bergelut dengan sejenis ketagihan, ketagihan mereka terhadap sekatan sama sekali tidak akan membenarkan (sebarang laluan kepada) perbincangan (yang berkesan)," katanya, sambil menambah bahawa Negara Oman tidak menyampaikan sebarang mesej daripada Amerika Syarikat kepada Iran.

Di dalam sebuah perkembangan berasingan, seorang diplomat Iran pada hari Sabtu menulis di dalam Twitter untuk mengecam langkah terbaru Trump terhadap Turki. Beliau juga menggesa Amerika Syarikat "untuk memulihkan ketagihan mereka kepada sekatan" sebelum masyarakat antarabangsa memaksa mereka untuk berbuat demikian.

Pada hari Jumaat lepas, Majid Takht Ravanch yang merupakan ahli anggota biro politik presiden Iran, memberitahu agensi berita ISNA bahawa dia tidak melihat sebarang alasan untuk mengadakan perbincangan di antara Trump dan Rouhani pada mesyuarat Perhimpunan Agung PBB yang ke-73 ini.

"Apa yang anda boleh nantikan daripada seseorang yang menarik diri daripada perjanjian antarabangsa dan kini (dengan mudah) berkata, mari kita berunding?," katanya.

Trump pada bulan Mei lepas secara unilateral telah menarik Washington keluar daripada perjanjian nuklear Iran, yang dikenali sebagai Pelan Tindakan Komprehensif Bersama (JCPOA) di sebalik bantahan daripada penandatangan yang lain termasuk sekutu tradisi A.S sendiri seperti Britain, Perancis dan Jerman. China dan Rusia pula telah menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi mereka terhadap JCPOA.

Presiden Amerika Syarikat juga pada awal minggu ini telah menandatangani sebuah perintah eksekutif baharu untuk mengenakan sekatan siri pertama ke atas Republik Islam Iran. Sekatan itu sebelumnya telah dimansuhkan di bawah perjanjian JCPOA. Fasa kedua sekatan A.S pula dijangka akan berkuatkuasa pada bulan November yang akan merangkumi sektor tenaga bahan bakar fosil negara Timur Tengah itu.

Para pakar telah memberik amaran berhubung gangguan kepada bekalan minyak dunia jikalau sekatan siri kedua dilaksanakan oleh Washington pada November ini di sebalik usaha pelbagai pihak yang cuba meredakan kegelisahan yang wujud di pasaran global dengan jaminan peningkatan pengeluaran bahan bakar itu oleh Negara Arab Saudi.


Artikel berkaitan

Kirim komen anda

E-mel anda tidak akan dipaparkan. Sila isi tempat bertanda *

*

conference-abu-talib
Mesej Haji 2018 Dari Pemimpin Tertinggi Iran
We are All Zakzaky