Pindah Kedutaan Ke Baitulmaqdis, Palestin Saman A.S

Pindah Kedutaan Ke Baitulmaqdis, Palestin Saman A.S

Palestin telah memfailkan saman terhadap Washington berhubung keputusannya memindahkan Kedutaan Amerika Syarikat (AS) dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Palestin telah memfailkan saman terhadap Washington berhubung keputusannya memindahkan Kedutaan Amerika Syarikat (AS) dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis.

Pada Jumaat, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) merujuk kenyataan Palestin mendapati pemindahan tersebut melanggar Konvensyen Vienna terhadap Hubungan Diplomatik 1961.

Dalam permohonan itu, Palestin berpendapat perjanjian itu menetapkan kedutaan mesti dibuka di wilayah negara penerima dan 'status khas Baitulmaqdis' bermakna AS melanggar kewajipan antarabangsa apabila ia bertindak sedemikian.

Susulan itu, Palestin meminta ICJ mengisytiharkan tindakan itu sebagai melanggar undang-undang dan turut mengarahkan Washington memindahkan semula premis itu dari Kota Lama terbabit.

Kelmarin, Menteri Luar Palestin, Riyad al-Malki berkata, aduan itu sejajar dengan dasar negara Palestin yang bertujuan untuk mengekalkan status kota suci Baitulmaqdis.

"Kami mempertahankan hak kami tanpa teragak-agak dan menolak segala bentuk pemerasan politik serta kewangan," lapor agensi berita Wafa memetik kenyataannya.

Keputusan kontroversi Presiden Donald Trump pada Disember lalu telah mencetuskan bantahan kerana dikhuatiri akan menjejaskan penyelesaian dua negara.

Sebelum ini, Presiden Palestin, Mahmoud Abbas menegaskan beliau bersedia untuk memfailkan tuntutan undang-undang kepada Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) yang secara efektif berfungsi sebagai tribunal jenayah perang dan ICJ berhubung dasar AS.

Selain isu pemindahan kedutaan, Abbas juga menyatakan beliau akan memfailkan saman atas keputusan Washington menyekat dana untuk Agensi Kerja dan Bantuan PBB Untuk Pelarian Palestin (UNRWA). - Agensi


Artikel berkaitan

Kirim komen anda

E-mel anda tidak akan dipaparkan. Sila isi tempat bertanda *

*

Mesej Haji 2018 Dari Pemimpin Tertinggi Iran
We are All Zakzaky