Trump Undur Dari Perjanjian Iran

Trump Undur Dari Perjanjian Iran

Presiden Donald Trump hari ini mengundurkan Amerika Syarikat (AS) dari perjanjian nuklear Iran dan mengenakan sekatan ketat ke atas negara itu.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Presiden Donald Trump hari ini mengundurkan Amerika Syarikat (AS) dari perjanjian nuklear Iran dan mengenakan sekatan ketat ke atas negara itu.

Ia sekali gus membelakangkan rayuan Eropah serta membangkitkan kemarahan antarabangsa.

Trump mengecam perjanjian 2015 itu yang disifatkannya sebagai memalukan AS kerana tidak melakukan apa-apa untuk membendung cita-cita nuklear Iran.

"Saya mengumumkan hari ini bahawa Amerika Syarikat akan menarik diri dari perjanjian nuklear Iran," kata Trump dalam ucapannya di Rumah Putih.

Mengetepikan usaha diplomasi selama lebih satu dekad oleh Britain, China, Perancis, Jerman, Iran, Russia dan pentadbiran AS yang lalu, Trump menuntut perjanjian baru yang lebih kukuh.

Katanya tawaran hebat itu bukan sekadar mengenakan sekatan yang lebih ketat terhadap program nuklear Iran, tetapi juga ke atas peluru berpandu balistik dan sokongan ketenteraan untuk kumpulan militan di Asia Barat.

"Kita tidak akan membenarkan bandar-bandar di Amerika diancam kemusnahan dan kita tidak akan membenarkan rejim yang sering melaungkan slogan 'Kematian Untuk Amerika' mendapatkan akses ke atas senjata paling berbahaya di Dunia."

Masih tidak dapat dipastikan sama ada komuniti antarabangsa atau Iran, akan mengikut telunjuk AS.

Sementara itu, Presiden Iran Hassan Rouhani berang dengan keputusan itu dan menuduh Trump melancarkan 'perang psikologi'.

Tuntutan tegas Trump dan amaran bahawa Iran berhak mendapat sesuatu yang lebih baik daripada pemerintahan diktator hanya mengukuhkan lagi syak wasangka bahawa matlamat utamanya adalah untuk mengubah rejim.

Sementara itu dalam satu kenyataan bersama, pemimpin Jerman, Angela Merkel, Perdana Menteri Britain, Theresa May dan pemimpin Perancis, Emmanuel Macron menyuarakan kekecewaan dan kebimbangan mereka susulan keputusan Trump itu. - AFP


Artikel berkaitan

Kirim komen anda

E-mel anda tidak akan dipaparkan. Sila isi tempat bertanda *

*

Mesej Haji 2018 Dari Pemimpin Tertinggi Iran
We are All Zakzaky