Sekatan Israel Ragut 1,000 Nyawa Palestin

Sekatan Israel Ragut 1,000 Nyawa Palestin

Lebih 1,000 rakyat Palestin telah mati akibat sekatan berterusan termasuk sekatan darat, udara dan laut oleh Israel selama 12 tahun di wilayah pesisir pantai itu.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Lebih 1,000 rakyat Palestin telah mati akibat sekatan berterusan termasuk sekatan darat, udara dan laut oleh Israel selama 12 tahun di wilayah pesisir pantai itu.

Daripada jumlah itu, sebanyak 450 orang maut akibat masalah penjagaan kesihatan termasuk kekurangan sumber perubatan dan krisis mendapatkan rawatan luar, kata Koordinator Persatuan Kerja Amal Genting Gaza, Ahmad al-Kurd dalam kenyataan yang dipetik oleh Portal Al-Jazeera.


“Selain itu, lima bayi pra-matang yang lahir beberapa hari lalu telah mati akibat kekurangan sumber perubatan,” katanya.

Rakyat Gaza berdepan ma­salah kekurangan air bersih dan tenaga elektrik disebabkan sekatan itu termasuk kekurangan ubat-ubatan sehingga doktor tidak boleh melakukan pembedahan kerana berdepan masalah yang sama.

Kurd berkata, usaha mendapatkan sumber tenaga elektrik di Gaza sejak 2006 pula menyebabkan 100 orang mati apabila penggunaan lilin, kayu api dan penjana (generator) menyebabkan rumah terbakar sehingga mengakibatkan kehilangan nyawa.

Kurd turut menggambarkan Gaza yang mempunyai dua juta rakyat Palestin itu boleh diibaratkan seperti ‘penjara terbesar dunia’.

“Gaza adalah malapetaka dari segi semua aspek termasuk kesihatan, alam sekitar, sosial dan tenaga.

“Isu tenaga perlu diselesaikan kerana ketiadaan tenaga elektrik sehingga 18 ke 20 jam sehari. Kerajaan juga perlu menyediakan segala keperluan di Gaza termasuk sumber perubatan, bantuan sosial, membayar gaji pegawai kerajaan, dan tertekan untuk membuka pintu sempadan,” katanya.

Dalam pada itu, pekerja agrikultur, perikanan dan pekerja terowong yang dibunuh kini mencecah 350 orang.

Seorang nelayan telah dibunuh semalam selepas tentera laut Israel membakar bot miliknya manakala dua nelayan lain ditemukan mengalami cedera akibat luka.

Sementara itu, jurucakap Kesatuan Nelayan Palestin, Nizar Ayyash berkata, kapal tentera Israel menyasarkan bot mereka yang dalam perjalanan pulang ke pelabuhan Gaza.

“Nelayan yang mati itu, Ismael Abu Riyaleh berusia 18 tahun manakala dua lagi, Ahed Abu Ali dan Mahmoud Abu Riyaleh telah ditahan oleh Israel,” katanya.

Berdasarkan ketetapan Oslo, rakyat Palestin hanya dibenarkan untuk menangkap ikan sejauh 20 nautika dari pantai Gaza tetapi Israel telah mengecilkan kawasan tangkapan kepada enam nautika.


Artikel berkaitan

Kirim komen anda

E-mel anda tidak akan dipaparkan. Sila isi tempat bertanda *

*

Mesej Haji 2018 Dari Pemimpin Tertinggi Iran
We are All Zakzaky