‘Serangan Terancang’

  • News Code : 853856
  • Source : Utusan
Brief

Ketika beribu-ribu etnik Rohingya melarikan diri dari negeri Rakhine untuk menyelamatkan diri daripada keganasan, penindasan terhadap masyarakat Islam yang masih tinggal di seluruh Myanmar terus berlaku termasuk melalui perluasan ‘zon bebas Muslim’.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Ketika beribu-ribu etnik Rohingya melarikan diri dari negeri Rakhine untuk menyelamatkan diri daripada keganasan, penindasan terhadap masyarakat Islam yang masih tinggal di seluruh Myanmar terus berlaku termasuk melalui perluasan ‘zon bebas Muslim’.

‘Zon bebas Muslim’ diperluaskan di Myanmar sejak keganasan dalam masyarakat tercetus pada tahun 2012, demikian menurut sebuah pertubuhan bebas, Burma Human Rights Network (BHRN).

“Kami mendapati zon ini wujud di sekurang-kurangnya 21 buah kampung seluruh negara dan penduduk setempat dibenarkan oleh pihak berkuasa untuk memasang papan tanda amaran kepada masyarakat Islam supaya tidak memasukinya (Zon bebas Muslim),” kata Pengasas dan pengarah eksekutif pertubuhan itu, Kyaw Win ketika membentangkan laporan BHRN di sini, baru-baru ini.

Laporan itu berdasarkan ke terangan diperoleh pada tahun-tahun sebelumnya dan lebih 350 temu bual yang dikendalikan oleh BHRN bagi tempoh lapan bulan melibatkan individu di lebih 46 buah bandar dan kampung di seluruh negara, dari negeri Karen di timur sehingga ke negeri Rakhine di barat, dan di seluruh bahagian tengah Myanmar.

Sebelum tahun 2012, terdapat hanya beberapa buah bandar di Myanmar yang menguatkuasakan larangan khusus kepada masyarakat Islam, iaitu negeri Rakhine dan Kayin tetapi kemudian diperluas dengan mengambarkan komuniti penduduk Rohingya sebagai berbahaya.

Sejak keganasan yang berlaku pada tahun 2012, terdapat peningkatan usaha dalam kalangan pelampau Buddha untuk menentukan siapa yang berasal dari Burma (Myanmar) dan sebaliknya.

Menurut laporan itu, pengusiran masyarakat Islam daripada perkampungan Buddha didorong oleh tanggapan bahawa keha­diran mereka melunturkan kekuatan Buddhisme, sekali gus menjadi satu ancaman.

Di Zon bebas Muslim itu, papan tanda dipasang untuk memberi amaran kepada masyarakat Islam supaya tidak bermalam, membeli atau menyewa hartanah dan mengahwini penduduk tempatan, di negeri berkenaan.

Menurut BHRN, kempen peringkat akar umbi di Myanmar untuk menjarakkan penganut Buddha dan Islam semakin memuncak manakala kerajaan pula gagal bertindak.

Sementara itu, Ketua Majlis Hak Asasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Zeid Ra’ad Al Hussein menyelar Myanmar kerana melakukan ‘serangan terancang’ terhadap etnik Rohingya dan memberi amaran bahawa ‘penghapusan etnik itu dilihat sedang berlangsung’.

“Oleh sebab, Myanmar enggan membenarkan penyiasat hak asasi manusia menilai situasi semasa, penilaian tidak dapat dilakukan tetapi situasi ini dilihat adalah contoh penghapusan etnik,’’ katanya.

Malah kata beliau, pihaknya telah menerima banyak laporan dan imej satelit tentang pasukan tentera Myanmar dan pihak pelampau Buddha membakar perkampungan Rohingya dan pembunuhan yang berterusan termasuk menembak orang awam yang melarikan diri,’’ tegasnya.

Seorang jurucakap agensi pelarian PBB, Joseph Tripura pula melaporkan, sehingga hari ini jumlah etnik Rohingya yang melarikan diri ke Bangladesh sejak 25 Ogos lalu meningkat kepada 313,000 orang.

Sementara itu, ketegangan semakin memuncak di seluruh Myan­mar hari ini selepas bergolak sejak dua minggu.

Semalam, seramai 400 penduduk yang bersenjatakan parang dan kayu mengugut menyerang masjid di bandar Taung Dwin Gyi, selepas membaling batu ke arah sebuah rumah penjual daging beragama Islam.

Kerajaan Myanmar dalam kenyataannya mendakwa rusuhan itu berjaya dileraikan oleh polis anti-rusuhan.

Dalam perkembangan yang sama, dua pertiga daripada etnik Rohingya yang tinggal di bandar Rathedaung telah diusir oleh tentera Myanmar dan kumpulan pelampau Buddha sejak 25 Ogos lalu.

Sebanyak 17 kampung mereka dibakar dan penduduknya semakin berkurangan dalam tempoh tersebut.


Artikel berkaitan

Kirim komen anda

E-mel anda tidak akan dipaparkan. Sila isi tempat bertanda *

*

Mesej Haji 2017 Dari Pemimpin Tertinggi Iran
We are All Zakzaky
Telegram