Asean Gesa Pelarian Myanmar Segera Dihantar Pulang

Asean Gesa Pelarian Myanmar Segera Dihantar Pulang

Asean berharap penghantaran pulang secara sukarela pelarian Myanmar disegerakan dengan selamat, terlindung dan bermaruah tanpa berlengah lagi, kata Menteri Luar Singapura Dr Vivian Balakrishnan.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Asean berharap penghantaran pulang secara sukarela pelarian Myanmar disegerakan dengan selamat, terlindung dan bermaruah tanpa berlengah lagi, kata Menteri Luar Singapura Dr Vivian Balakrishnan.

Asean turut menegaskan keperluan mencari penyelesaian tuntas dan teguh menangani punca utama konflik itu serta mewujudkan persekitaran kondusif agar komuniti terjejas dapat membina semula kehidupan mereka, katanya dalam kenyataan dikeluarkan di akhir Permukiman Menteri-Menteri Luar Asean hari ini.

Permukiman itu adalah perhimpunan pertama Menteri-Menteri Luar Asean di Singapura dengan Singapura selaku Pengerusi Asean 2018.

Menteri Luar Malaysia Datuk Seri Anifah Aman menghadiri permukiman itu.

Dr Vivian berkata pada permukiman itu, menteri-menteri berkenaan diberi taklimat oleh Myanmar berhubung situasi kemanusiaan di Rakhine.

Menteri-menteri berkenaan menyatakan sokongan berterusan mereka kepada program bantuan kemanusiaan Myanmar di Negeri Rakhine, kata Dr Vivian.

Beliau berkata mereka turut menyambut baik tugas pengurusan bencana sedang dijalankan Pusat Penyelarasan Asean bagi bantuan kemanusiaan dengan mekanisme diketuai kerajaan Myanmar untuk menghantar bantuan kemanusiaan kepada semua pelarian tanpa diskriminasi.

Dr Vivian berkata menteri-menteri itu turut menyatakan sokongan kepada kerajaan Myanmar dalam usahanya membawa keamanan, kestabilan, kedaulatan undang-undang, menggalakkan keharmonian dan perdamaian dalam kalangan pelbagai komuniti, di samping memastikan pembangunan lestari dan saksama di Rakhine.

“Kami menyambut baik perjanjian mengenai Penghantaran Pulang Pelarian dari Rakhine antara Myanmar dan Bangladesh ditandatangani pada 23 November 2017,” katanya.

“Pada dasarnya, apa diperlukan adalah penyelesaian politik jangka panjang. Itu satu-satunya cara dapat membina semula kehidupan, komuniti, kepercayaan dan kemudian, dan boleh melangkah ke hadapan,” tegasnya.

“Jadi, ini bukanlah isu yang boleh diselesaikan dengan pantas, bagaimanapun amat penting membuat diagnosis betul dan kemudian bekerja bersama-sama menanganinya,” katanya.


Artikel berkaitan

Kirim komen anda

E-mel anda tidak akan dipaparkan. Sila isi tempat bertanda *

*

Quds cartoon 2018
We are All Zakzaky