Bukan Kalau, Tapi Bila: Singapura Sedia Hadapi Pengganas

Bukan Kalau, Tapi Bila: Singapura Sedia Hadapi Pengganas

Anggota bersenjata meronda di sebuah stesen kereta api di mana skrin televisyen dan poster gergasi memberi amaran ancaman militan.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Anggota bersenjata meronda di sebuah stesen kereta api di mana skrin televisyen dan poster gergasi memberi amaran ancaman militan.

Di kawasan berdekatan, beberapa lelaki bersenjata tiruan menyerang sebuah pusat beli-belah dalam satu simulasi serangan pengganas baru-baru ini.

Tetapi, ini bukannya negara bergolak, sebaliknya Singapura ialah salah sebuah negara paling selamat di dunia.

Negara itu memiliki rekod hampir sempurna bebas daripada keganasan, tetapi ketika ia bersiap sedia menjadi tuan rumah kepada menteri pertahanan dari Asia Tenggara minggu ini, Singapura nampaknya mempunyai alasan kukuh untuk mengutamakan usaha menghentikan penyebaran militan di rantau ini.

Hab kewangan ke-2 terbesar di rantau ini selepas Tokyo dalam Indeks Bandar Selamat oleh The Economist Intelligence Unit pada 2017, berkata ia menjadi sasaran militan dengan sesetengah ancaman dari negara jiran yang majoriti penduduknya beragama Islam, dan ia hanya menunggu “bila”, bukannya “jika” militan akan melancarkan serangan.

“Singapura terus berdepan ancaman keselamatan serius daripada individu radikal dalam negara dan pengganas asing yang terus melihat Singapura sebagai sasaran berharga,” kata Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (MHA) Singapura, menjawab pertanyaan Reuters menerusi e-mel.

Pihak berkuasa Singapura berkata, mereka menjadi sasaran ekstremisme Islam sejak 1990-an, tetapi usaha menghalang keganasan ditingkatkan beberapa tahun kebelakangan ini, selepas serangan kerap ke atas negara Barat dan selepas militan IS menguasai sebuah bandar di selatan Filipina dalam tempoh singkat, tahun lepas.

Kebimbangan terhadap ancaman ke atas pulau itu meningkat, apabila seorang askar Singapura muncul dalam beberapa video promosi IS, terbaru pada Disember lalu yang memaparkan dia melaksanakan hukuman ke atas beberapa lelaki bersama militan lain.

MHA dalam Laporan Penilaian Ancaman Keganasan yang julung kali dikeluarkan tahun lalu, berkata, IS menunjukkan Singapura berada dalam “radarnya” dan ancaman ke atas republik itu kekal “tertinggi dalam beberapa tahun ini” – dakwaan disokong pakar keselamatan.

“Singapura yang dikenali sebagai negara selamat, menjadikannya sasaran berisiko,” kata Dan Bould, seorang bekas kapten dalam tentera British dan pengarah pengurusan krisis Asia di firma perkhidmatan profesional Aon.

“Sekiranya berlaku serangan di Filipina, ia mendapat liputan setengah jam dalam kitaran berita 24 jam. Namun, serangan di Singapura dengan penduduk berbilang budaya di sini, akan menjadi tumpuan sekurang-kurangnya beberapa hari.”

Pada awal 2017, Aon menaikkan kedudukan Singapura dalam kategori keganasan dan keganasan politik daripada peta risiko tahunannya, daripada sedikit risiko kepada risiko rendah.

Aplikasi telefon mudah alih

Hakikatnya, Singapura terlepas daripada serangan yang berlaku di bandar utama lain di dunia seperti New York, London dan Berlin beberapa tahun ini. Sebab itulah ia berada di bawah Indeks Keganasan Global 2017, dengan tiada serangan berkaitan keganasan dilaporkan selepas 9/11.

Tetapi, 3 daripada 4 warga Singapura percaya negara itu hanya menunggu masa untuk berdepan serangan pengganas, tinjauan dilakukan akhbar tempatan, Sunday Times tahun lalu.

Pihak berkuasa Singapura tidak mahu rakyatnya leka. Semua orang, termasuk pelajar digalakkan memuat turun satu aplikasi di telefon mudah alih yang memberi amaran kepada mereka berhubung situasi kecemasan dan membolehkan mereka menghantar video serta gambar peristiwa mencurigakan.

MHA berkata, setakat akhir tahun lepas, lebih 1.3 juta peranti dilengkapi aplikasi SGSecure, sebahagian daripada kira-kira 5.6 juta populasinya.

Simulasi serangan pengganas – termasuk yang diadakan minggu lalu, di mana lelaki bertopeng dilengkapi senjata menyerbu pusat aktiviti kanak-kanak di pulau peranginan Sentosa – adalah kebiasaan.

Bulan lalu, tentera Singapura melakukan latihan mobilisasi terbesarnya dalam tempoh lebih 3 dekad, termasuk tindak balas antara agensi dengan simulasi seorang lelaki bersenjata di stadium negara.

Tahun lalu, pihak berkuasa berkata, ada maklumat boleh dipercayai yang militan IS sedang mempertimbang melancarkan satu serangan ke atas Singapura pada separuh pertama 2016, ancaman yang mereka katakan berjaya ditangkis.

Pada Ogos 2016, negara jiran Indonesia yang mempunyai populasi Islam terbesar di dunia, menahan 6 suspek dikaitkan dengan IS yang dituduh merancang serangan roket ke atas hotel Marina Bay Sands di Singapura.

Malaysia dengan majoriti penduduknya beragama Islam, dan Indonesia berkata, ribuan rakyat mereka yang simpati dengan IS dan beratus lagi dipercayai pergi ke Syria untuk menyertai kumpulan itu. Pegawai keselamatan serantau berkata, ramai pulang ke tanah air selepas berundur dari Timur Tengah.

Pendekatan tegas

Bilveer Singh, felo kanan di Sekolah Pengajian Antarabangsa Rajaratnam, berkata pendekatan tegas diambil Singapura ke atas radikal disyaki ialah satu daripda faktor di sebalik kejayaan negara itu.

Langkah paling kontroversi adalah penggunaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) era penjajah, yang membenarkan suspek ditahan untuk tempoh lama tanpa perbicaraan.

MHA berkata, ia kini mempunyai 20 tahanan di bawah akta bagi aktiviti “berkaitan keganasan”, dan hampir 90 orang ditahan untuk aktiviti seumpama itu sejak 2002.

“ISA adalah pencegah hebat, dan setakat ini ia berfungsi,” kata Singh.

Pihak berkuasa turut menghantar sejumlah warga asing disyaki radikalisme beberapa tahun ini dan Oktober lalu, 2 pendakwah Islam popular dari Zimbabwe dan Malaysia dilarang ke negara itu dengan alasan pandangan mereka menggalakkan sikap tidak bertoleransi dan menjadi risiko kepada keharmonian masyarakatnya.


Artikel berkaitan

Kirim komen anda

E-mel anda tidak akan dipaparkan. Sila isi tempat bertanda *

*

Mesej Haji 2017 Dari Pemimpin Tertinggi Iran
We are All Zakzaky
Telegram