Bukan Rohingya Bakar

  • News Code : 854036
  • Source : Utusan Online
Brief

Dakwaan kerajaan Mynmar bahawa etnik Islam Rohingya membakar rumah mereka sendiri sebelum melarikan diri ke Bangladesh ternyata tidak benar apabila wartawan asing mendapati perbuatan khia­nat itu sebenarnya dilakukan oleh penduduk etnik Rakhine beragama Hindu.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Dakwaan kerajaan Mynmar bahawa etnik Islam Rohingya membakar rumah mereka sendiri sebelum melarikan diri ke Bangladesh ternyata tidak benar apabila wartawan asing mendapati perbuatan khia­nat itu sebenarnya dilakukan oleh penduduk etnik Rakhine beragama Hindu.

Perkara berkenaan disedari oleh wartawan asing yang membuat liputan ke wilayah bergolak Rakhine apabila mereka ditunjukkan gambar yang mendakwa ‘penduduk Islam Rohingya’ sedang membakar rumah etnik berkenaan.

Wartawan berkenaan melawat utara Rakhine, minggu lalu untuk bertemu dengan seorang sami Buddha dikenali sebagai Zawtika yang mendakwa ‘etnik Rohingya’ membakar rumah mereka sendiri malah mempunyai bukti bergambar mengenainya.

“Saya cuba menahan penduduk (didakwa penduduk Islam Rohingya) berkenaan tetapi mereka nampaknya benar-benar mahu membakarnya,” dakwa Zawtika.

Malah, seorang penduduk yang rapat dengan Zawtika, Maung Maung Htwe menunjukkan bukti bergambar itu menerusi telefon pintar miliknya dan kesemua suspek yang membakar rumah etnik Rohingya tersebut jelas kelihatan.

Bagaimanapun, seorang pemberita AP daripada rombongan pemberita itu sebaliknya mengenal pasti dua individu dalam gambar berkenaan sebenarnya adalah penduduk Rakhine beragama Hindu tinggal di sebuah sekolah yang dijadikan pusat pemindahan sementara di Rakhine.

Walaupun tidak dinyatakan secara tepat bilakah gambar ber­kenaan diambil, perbuatan membakar rumah penduduk Rohingya itu dilakukan oleh lelaki dan wanita Hindu berkenaan kerana pakaian yang dipakai adalah sama seperti dalam gambar tersebut.

Selepas gambar yang mendakwa ‘penduduk Rohingya membakar rumah sendiri’ berjaya mencetuskan keraguan, kerajaan Myanmar kemudiannya melancarkan siasatan terhadap individu yang terlibat membakar rumah berkenaan.

Sebelum ini kediaman penduduk Islam Rohingya telah dilaporkan dibakar oleh tentera Myanmar dan juga pelampau Buddha tetapi pihak kerajaan berkeras menyatakan ia dilakukan sendiri oleh etnik tersebut.

Dalam perkembangan berkaitan, portal Arakan Times Media melaporkan, sekurang-kurangnya tiga buah perkampungan Rohingya di bandar Buthidaung dibakar tentera, polis pengawal sempadan dan pelampau etnik Rakhine, semalam.

Selain Kampung NgaYanChaung, MaungNaMa dan ZeeGon di utara Buthidaung dibakar pasukan keselamatan, semalam turut dibakar ialah Kampung Khaung Ta Kar, Padin, Kunkarfara, Bood Deil dan Gojjondia selatan Maungdaw.

Berdasarkan laporan, sebanyak 95 peratus rumah Rohingya di Maungdaw dan Rathedaung hangus dibakar mengakibatkan lebih 300,000 etnik Rohingya dari Maungdaw sahaja melarikan diri ke Bangladesh.

Sementara itu, Majlis Ke­selamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) akan mengadakan satu mesyuarat ter­gempar esok bagi membincangkan keganasan di barat Myanmar selepas penghapusan etnik didakwa menjadi punca kebanjiran 300,000 pelarian ke Bangladesh.

Mesyuarat itu diadakan atas permintaan Britain dan Sweden tetapi China menentang pembabitan majlis tertinggi PBB berkenaan dalam menangani isu tersebut.

Kerajaan Bangladesh pula merayu sokongan antar bangsa untuk memindahkan pelarian Rohingya ke sebuah pulau tidak berpenghuni, Bhasan Char di negara berkenaan yang sering dilanda banjir pada setiap tahun tetapi kajian mendapati pulau terbabit tidak sesuai untuk diduduki kerana kerap dinaiki air laut.– AGENSI


Artikel berkaitan

Kirim komen anda

E-mel anda tidak akan dipaparkan. Sila isi tempat bertanda *

*

mourning-of-imam-hussain
Mesej Haji 2017 Dari Pemimpin Tertinggi Iran
We are All Zakzaky
Telegram