Gelombang Kedua

  • News Code : 853427
  • Source : Sinar Harian
Brief

Sejak puluhan tahun lalu, kerajaan Myanmar berada di bawah pengawasan masyarakat antarabangsa dek kerana kekejamannya terhadap penduduk Islam Rohingya.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Sejak puluhan tahun lalu, kerajaan Myanmar berada di bawah pengawasan masyarakat antarabangsa dek kerana kekejamannya terhadap penduduk Islam Rohingya.

Rohingya di negara itu sering ditindas dan menderita akibat serangan ganas Tatmadaw serta pelampau Buddha.

Maka tidak hairanlah mengapa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggelar mereka sebagai kumpulan minoriti paling dianiaya di dunia.

Mereka diusir, ditindas, dinafikan kerakyatan penuh dan kerajaan turut menganggap Rohingya sebagai pendatang haram dari Bangladesh.

Sejak lebih dua minggu lalu, Rohingya sekali lagi menghadapi keganasan terbaharu di mana lebih 270,000 orang telah menyeberang ke Bangladesh selepas pejuang Rohingya menyerang sembilan pos keselamatan sempadan dan menyebabkan 12 polis serta sekurang-kurangnya 80 pejuang terbunuh.

Hampir 400 orang turut dilaporkan terkorban dalam pertempuran baharu yang dilancarkan di barat laut Myanmar menjadikannya keganasan paling dahsyat untuk Rohingya dalam tempoh beberapa dekad.

“Sehingga kelmarin, dianggarkan sebanyak 270,000 pelarian tiba di negara jiran, Bangladesh dalam tempoh dua minggu lalu,” menurut Suruhanjaya Tinggi PBB bagi Pelarian (UNHCR), Vivian Tan.

Ketika ribuan melarikan diri, masih ramai juga yang terkandas di tanah antara kedua-dua negara berkenaan selepas pihak berkuasa Bangladesh mengukuhkan keselamatan sempadan dan menyekat kemasukan Rohingya.

Menurut Pertubuhan Migrasi Antarabangsa (IOM), pihaknya masih belum dapat menentukan jumlah sebenar Rohingya yang telah berjaya masuk ke Bangladesh kerana tiada proses pendaftaran untuk Rakyat Myanmar Tidak Didokumenkan (UMNs) di negara tersebut.

Susulan gelombang kedua pertempuran baharu konflik Rohingya itu, Majlis Keselamatan PBB (UNSC) telah mengadakan rundingan tertutup atas permintaan Britain untuk menangani kekerasan yang semakin meningkat di Myanmar.

Duta Besar Britain ke PBB, Matthew Rycroft berkata, apa yang mereka mahukan adalah memberi perhatian kepada laporan tindakan Tatmadaw yang provokatif hingga meningkatkan aliran pelarian.

“Penting bagi semua pihak untuk meningkatkan tekanan dan melihat kepada kesan jangka masa panjang. Kami semua mengutuk sekeras-kerasnya keganasan ini dan menggesa semua pihak membantu meredakan ketegangan tersebut.,” katanya.

Katanya lagi, UNSC masih menyokong Penasihat Negara Aung San Suu Kyi yang kini mengetuai kerajaan.

“Kami menunggu beliau untuk menetapkan langkah yang betul bagi menyelesaikan konflik demi kebaikan semua rakyat Myanmar,” jelasnya.

Kumpulan hak asasi di rantau Myanmar turut mengkritik peranan Suu Kyi yang memenangi pilihan raya pada 2015 untuk parti pimpinannya Liga Kebangsaan bagi Demokrasi (NLD).

Meskipun peraturan Perlembagaan melarang beliau untuk menjadi presiden, namun sebagai Penasihat Negara, Suu Kyi bertindak sebagai pemimpin de facto negara.

Sejak gelombang pertama keganasan Rohingya tercetus Oktober lalu, kira-kira 85,000 Rohingya telah melarikan diri ke Bangladesh.

Ketika itu, Myanmar didakwa melakukan pembersihan etnik yang menyaksikan lebih 1,200 rumah dibakar, lebih 100 orang terbunuh dan puluhan ribu lagi melarikan diri.

Khamis lalu, Suu Kyi akhirnya bersuara buat kali pertama berhubung isu Rohingya selepas lebih dua minggu gelombang kedua keganasan tercetus.

Suu Kyi menyalahkan ‘pengganas’ kerana menyebarkan maklumat yang salah tentang isu keganasan yang telah menyebabkan pelbagai masalah antara negara berbeza kononnya bagi tujuan mempromosikan kepentingan pengganas.

Tindakan ofensif cetus pertumpahan darah

Kerajaan telah menghantar ratusan anggota tentera untuk meningkatkan keselamatan di negeri barat laut Rakhine selepas pertempuran pertama yang tercetus Oktober lalu.

Kira-kira 500 tentera ditempatkan di beberapa bandar berhampiran sempadan dengan Bangladesh pada awal bulan lalu, termasuk bandar Buthidaung dan Maungdaw.

Pembentukan seperti itu sekali gus menimbulkan kebimbangan mengenai gelombang baharu keganasan selepas serangan tahun lalu di mana Tatmadaw didakwa menembak penduduk kampung secara rawak, merogol wanita Rohingya dan membakar rumah mereka.

Menurut pegawai polis Rakhine, Sein Lwin, tentera telah mengetatkan keselamatan dan pasukan polis berada dalam keadaan sangat berjaga-jaga.

Selain itu, pasukan keselamatan turut mengukuhkan kawalan sempadan di rantau berkenaan.

Susulan langkah kerajaan itu, PBB menyatakan perkembangan terbaharu tersebut merupakan salah satu punca yang menjadi kebimbangan utama banyak pihak.

“Kerajaan mesti memastikan pasukan keselamatan mengekalkan kekangan dalam semua keadaan dan menghormati hak asasi manusia dalam menangani keadaan keselamatan di Rakhine,” menurut wakil khas PBB untuk situasi hak asasi manusia di Myanmar, Yanghee Lee.

Hampir dua minggu selepas kerajaan menempatkan ratusan tentera, serangan pejuang Rohingya di sembilan pos keselamatan sempadan mencetuskan gelombang baharu pertempuran.

Banyak negara mula bersuara Menteri Luar Iran, Mohammad Javad Zarif menyelar masyarakat global kerana diam dalam keganasan berterusan terhadap penduduk Islam Rohingya dan menggesa tindakan penting untuk menamatkan kekejaman terhadap kumpulan minoriti itu.

“Dunia berdiam diri terhadap keganasan berterusan #Rohingya. Tindakan segera adalah penting bagi mengelakkan pembersihan etnik. PBB perlu mengadakan perhimpunan,” katanya dalam satu status dimuat naik di Twitter.

Teheran menggesa kerajaan Myanmar untuk menghentikan pencabulan hak Rohingya dan menamatkan kekerasan yang sedang berlaku di negara terbabit.

Sementara itu, Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan turut menggesa dunia Islam untuk meningkatkan usaha bagi membantu Rohingya di Myanmar yang teraniaya dalam perbualan telefon dengan rakan sejawatannya dari Mauritania, Pakistan, Iran dan Qatar Khamis lalu.

Bagi Presiden Indonesia, Joko Widodo, beliau mahu krisis kemanusiaan yang melibatkan Rohingya di Rakhine diselesaikan secara objektif dan bukan hanya dengan membuat kenyataan mengutuk republik tersebut.

Katanya, Jakarta komited untuk membantu dan telah menghantar Menteri Luar, Retno Marsudi untuk bertemu dan berbincang dengan pemimpin Myanmar.

Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres turut menggesa pihak berkuasa Myanmar untuk menghentikan keganasan di Rakhine dan mengambil langkah bagi menyediakan Rohingya di sana dengan kehidupan normal.

“Keluhan dan nasib Rohingya telah berlarutan terlalu lama dan menjadi faktor yang tidak dapat dinafikan dalam ketidakstabilan serantau.

“Pihak berkuasa Myanmar perlu mengambil tindakan tegas untuk menamatkan kekejaman dan memberi jaminan serta bantuan kepada semua yang memerlukan,” katanya.

PBB beri amaran

Pegawai hak asasi manusia PBB memberi amaran tentang keadaan yang semakin tegang di Rakhine selepas puluhan ribu lagi Rohingya melarikan diri ke Bangladesh.

Wakil khas PBB untuk situasi hak asasi manusia di Myanmar, Yanghee Lee berkata, keadaan kemanusiaan semakin merosot dan beliau bimbang ribuan orang berisiko melanggar hak asasi manusia mereka.

“Terdapat beberapa laporan yang boleh dipercayai bahawa tentera Myanmar menggunakan bom tangan terhadap orang awam yang menuju ke Bangladesh.

“Kitaran keganasan adalah sangat membimbangkan dan ia perlu dihentikan dengan segera,” tegasnya.

Lee turut mendakwa kegagalan pihak berkuasa di Myanmar untuk membantu Rohingya berpindah ke lokasi lebih selamat.

“Lebih 270,000 telah menyeberang ke negara jiran di kawasan sekitar Cox’s Bazar, manakala lebih 20,000 lagi terkandas di antara kedua-dua negara. Jumlah itu terus meningkat setiap hari.

“Saya menggesa kerajaan Myanmar untuk memastikan penyediaan segera bantuan kepada semua komuniti terjejas di Rakhine dan memberi akses kepada PBB untuk menyediakan bantuan kemanusiaan,” katanya.

Siapa Rohingya

  • Rohingya adalah kumpulan minoriti Islam yang hidup dalam negara majoriti Buddha dan membentuk lebih sejuta daripada 50 juta penduduk di Myanmar. 
  • Kebanyakan Rohingya tinggal di Rakhine, salah sebuah negeri termiskin dengan populasi penduduk tiga juta orang. 
  • Mereka tidak dianggap sebagai salah satu daripada 135 kumpulan etnik rasmi negara dan dinafikan kewarganegaraannya oleh kerajaan meskipun ramai yang telah 
  • tinggal di negara itu sejak beberapa generasi. 
  • Bagi mendapatkan kerakyatan, Rohingya perlu membuktikan bahawa telah tinggal di Myanmar selama 60 tahun, bagaimanapun permohonan mereka sering ditolak. 
  • Akibatnya, hak untuk belajar, berkahwin, bekerja, melancong, mengamalkan agama dan mendapatkan akses kesihatan adalah terhad. 
  • Mereka juga tidak boleh mengundi dan had turut diletakkan kepada mereka untuk memasuki profesion tertentu seperti perubatan, undang-undang dan bertanding dalam pilihan raya. 
  • Keganasan komunal di negeri Rakhine pada 2012 telah menyebabkan banyak kematian dan lebih 100,000 orang hilang tempat tinggal dengan ramai Rohingya masih tinggal di kem. 

Artikel berkaitan

Kirim komen anda

E-mel anda tidak akan dipaparkan. Sila isi tempat bertanda *

*

mourning-of-imam-hussain
Mesej Haji 2017 Dari Pemimpin Tertinggi Iran
We are All Zakzaky
Telegram