India Mulakan Proses Batal Pasport Zakir Naik

  • News Code : 842228
  • Source : ABNA24
Brief

Kerajaan India sudah memulakan proses membatalkan pasport penceramah kontroversi, Dr Zakir Naik yang dikehendaki atas dakwaan pengubahan wang dan mempromosikan ideologi ekstremis, lapor The Indian Express.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Kerajaan India sudah memulakan proses membatalkan pasport penceramah kontroversi, Dr Zakir Naik yang dikehendaki atas dakwaan pengubahan wang dan mempromosikan ideologi ekstremis, lapor The Indian Express.

Jurucakap Kementerian Hal Ehwal Luar, Gopal Baglay berkata pihaknya memulakan proses pembatalan semalam selepas diminta agensi tertentu beberapa hari lalu supaya pasport Zakir dibatalkan.

“Terdapat satu proses untuk langkah yang perlu dipatuhi di bawah peruntukan undang-undang dan kami telah mengambil tindakan,” kata Baglay.

Pasport Zakir dikatakan diperbaharui pada Januari tahun lepas dan ia sah selama 10 tahun, menurut agensi keselamatan India.

Zakir disiasat Agensi Siasatan Negara India (NIA). Beliau meninggalkan India pada Julai 2016, susulan dakwaan pengikutnya terlibat dalam serangan pengganas di Bangladesh.

Pada 18 November 2016, NIA mendaftarkan kes jenayah terhadap Zakir di bawah pelbagai seksyen Kanun Keseksaan India dan Akta Aktiviti (Pencegahan) Undang-undang.

Organisasi beliau, Yayasan Penyelidikan Islam (IRF), diisytiharkan sebagai persatuan yang menyalahi undang-undang oleh kerajaan.

Kerajaan India mengharamkan IRF dan saluran Peace TV kendaliannya tidak dibenarkan bersiaran lagi.

Beliau turut dituduh menyebarkan kebencian dengan ucapan provokatif, selain menyumbang dana kepada pengganas berjumlah jutaan rupee selama bertahun-tahun.

Beliau juga diberi notis tunjuk sebab oleh pihak berkuasa pasport yang mempersoalkan mengapa dokumen perjalanannya tidak boleh dibatalkan.

Zakir yang kerap berulang alik dari Arab Saudi ke Malaysia sebelum ini berkata beliau tidak akan menyerahkan diri kepada pihak berkuasa India, sebaliknya berkata mereka boleh datang kepadanya.

Oleh: FMT Reporters


Artikel berkaitan

Kirim komen anda

E-mel anda tidak akan dipaparkan. Sila isi tempat bertanda *

*

We are All Zakzaky
Telegram