Kes Jong Nam: Malaysia Diugut Dan Diancam, Kata Zahid

  • News Code : 818429
  • Source : freemalaysiatoday
Brief

Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengakui Malaysia diugut dan menerima ancaman berhubung kes pembunuhan abang sebapa kepada diktator Korea Utara, Kim Jong Nam.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengakui Malaysia diugut dan menerima ancaman berhubung kes pembunuhan abang sebapa kepada diktator Korea Utara, Kim Jong Nam.

Timbalan perdana menteri bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu, sebaliknya menegaskan tidak akan membenarkan Malaysia dijadikan tempat untuk melancarkan keganasan dan jenayah antarabangsa.

“Ya, kita diugut, kita diancam, saya tidak mahu menyebut lebih daripada itu kerana 9 rakyat kita masih ada di negara itu,” katanya yang dilaporkan Utusan Malaysia hari ini.

Sebelum ini, Korea Utara mengeluarkan arahan tidak membenarkan rakyat Malaysia keluar dari Pyongyang yang disusuli dengan Putrajaya menyekat pegawai Kedutaan Korea Utara dan warganegara itu meninggalkan Malaysia, selepas 2 negara menghantar duta masing-masing pulang ke tanah air.

Ia membawa kontroversi itu ke tahap baru menyamai tebusan, ekoran dakwaan polis yang suspek warga Korea Utara terlibat dalam pembunuhan Jong Nam masih bersembunyi di dalam Kedutaan Korea Utara di Kuala Lumpur yang terletak di Bukit Damansara.

Rundingan untuk mengeluarkan 9 rakyat Malaysia yang terkandas di Pyongyang sudah dimulakan Isnin lalu.

Zahid berkata, walaupun kerajaan boleh mengambil tindakan tegas, tetapi mereka perlu mengambil kira pelbagai pandangan tanpa mengetepikan keutamaan untuk mempertahankan kedaulatan negara.

“Kita tidak mahu menggunakan ini sebagai ‘bargaining power’ atau sebagai rundingan untuk kita mengorbankan rakyat kita dan rakyat mereka.

“Malaysia mempunyai pemimpin yang rasional, insya Allah selagi mereka menjaga rakyat kita baik-baik, maka kita akan jaga rakyat mereka dengan baik.

“Kita tidak mahu mengganggu-gugat mereka, selagi mereka tidak mengganggu-gugat kita. Kita akan menghormati mana-mana pemimpin negara luar, selagi mereka menghormati pemimpin kita,” katanya.

Hubungan Malaysia dan Korea Utara kini di tahap paling tegang sejak kedua-dua negara menjalin hubungan diplomatik pada 1973.

Ia susulan kematian Jong Nam pada 13 Februari lalu, selepas diserang 2 wanita yang menyapu mukanya dengan sejenis bahan kimia dikenal pasti sebagai agen saraf VX yang dikategorikan senjata pemusnah besar-besaran oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.

Mereka dipercayai diupah Korea Utara, namun dakwaan itu ditolak Pyongyang sejak awal lagi.


Artikel berkaitan

Kirim komen anda

E-mel anda tidak akan dipaparkan. Sila isi tempat bertanda *

*

We are All Zakzaky
Telegram