Kotak Hitam Pertama JT 601 Ditemui

Kotak Hitam Pertama JT 601 Ditemui

Salah satu kotak hitam milik pesawat Lion Air, JT 601 yang terhempas di perairan Karawang, Jawa Barat telah ditemui, hari ini kira-kira empat hari selepas tragedi yang mengorbankan kesemua 189 penumpang.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Salah satu kotak hitam milik pesawat Lion Air, JT 601 yang terhempas di perairan Karawang, Jawa Barat telah ditemui, hari ini kira-kira empat hari selepas tragedi yang mengorbankan kesemua 189 penumpang.

Penemuan 'objek paling berharga' mengandungi maklumat penting termasuk rekod kelajuan, altitud malah perbualan kru itu disahkan Ketua Jawatankuasa Keselamatan Pengangkutan Nasional Indonesia (KNKT) dan diharap dapat menjawab segala persoalan tentang apa yang menyebabkan nahas itu berlaku kira-kira 13 minit selepas ia berlepas dari Jakarta.

"Kami telah menemui salah satu daripada kotak hitam," kata Soerjanto Tjahjono, namun beliau tidak mengesahkan sama ada ia perakam data penerbangan atau perakam suara kokpit.

Media tempatan melaporkan kotak hitam itu dijumpai kira-kira jam 10.15 pagi (waktu tempatan) di perairan Tanjung Karawang, Jawa Barat.

Penyelam dikenali sebagai Hendra memberitahu, mereka terpaksa 'menggali' untuk mengeluarkan kotak hitam itu dari serpihan bangkai pesawat yang terbenam dalam lumpur di dasar laut tersebut pada kedalaman kira-kira 30 meter.

Menurutnya lagi, hanya bahagian kecil pesawat Boeing 737 MAX itu yang ditemui.

Terdahulu, pihak berkuasa Indonesia mengerah puluhan penyelam bersama kapal, empat pengesan sonar dan suar akustik bawah air untuk melakukan carian kotak hitam tersebut selepas isyarat 'ping' diterima sangat jelas daripada salah sebuah kotak hitam tersebut.

Sementara itu, Timbalan Ketua Panel Keselamatan Pengangkutan Nasional, Haryo Satmiko memaklumkan dron bawah air telah mengesan objek dipercayai badan pesawat tersebut.

Arus kuat pada Selasa lalu menyebabkan operasi carian itu berdepan cabaran besar selain terdapat saluran paip tenaga yang menyukarkan akses mereka.

Difahamkan, jika badan pesawat itu berjaya ditemui, ia akan dibawa keluar menggunakan kren kerana kebanyakan mangsa penumpang dipercayai masih terikat pada kerusi masing-masing.

Info:

>Kedua-dua kotak hitam, perakam data penerbangan dan perakam suara kokpit itu adalah seberat 7 hingga 10 kilogram

>Ia boleh mencecah sehingga kedalaman 6,000 meter dalam dasar laut dan bertahan selama sejam pada suhu 1,100 darjah Celsius

>Bagi memudahkan pencariannya, alat tersebut dipasang suar yang boleh mengeluarkan isyarat selama sebulan


Artikel berkaitan

Kirim komen anda

E-mel anda tidak akan dipaparkan. Sila isi tempat bertanda *

*

Mesej Haji 2018 Dari Pemimpin Tertinggi Iran
We are All Zakzaky