Lombok Berubah Cuaca Selepas Dilanda Gempa Bumi

Lombok Berubah Cuaca Selepas Dilanda Gempa Bumi

Destinasi percutian terkenal negara Indonesia, Lombok Utara, yang saban tahun mengalami hujan pada bulan Oktober, kini dilanda musim panas berpanjangan.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Destinasi percutian terkenal negara Indonesia, Lombok Utara, yang saban tahun mengalami hujan pada bulan Oktober, kini dilanda musim panas berpanjangan.

Rata-rata penduduk yang ditemui memaklumkan sejak kejadian gempa bumi yang melanda kepulauan itu pada Julai dan Ogos lepas, kawasan berkenaan tidak lagi dilanda hujan seperti kebiasaannya berlaku saban tahun.

Seorang penduduk Dusun Sumur Pandi, Kukuh Tri Atmaja, 18, berkata, setiap tahun apabila tiba penghujung Oktober, Lombok semestinya akan mengalami musim hujan, tetapi tidak pada tahun ini selepas dilanda bencana alam.

“Tidak pasti kenapa, tetapi kawasan ini tidak lagi hujan seperti setiap tahun, mungkin berlaku perubahan akibat gempa bumi beberapa bulan lalu.

“Tetapi kami bersyukur apabila tidak hujan ia mempercepat dan memudahkan kerja kami untuk membina huntara (rumah sementara) yang musnah akibat gempa dengan cepat,” katanya kepada Bernama yang mengikuti misi bantuan #peduligempalombok6.0 anjuran Global Peace Mission (GPM) Malaysia, di sini, hari ini .

Sementara itu, peniaga Haryani, 32, berkata selepas bencana alam melanda penempatan mereka, hujan hanya turun sekali semalam dalam tempoh masa kurang 10 minit.

“Keadaan sekarang memang kering, berdebu dan panas terik… tumbuh-tumbuhan sekeliling juga banyak yang mati akibat kemarau ini.

“Panasnya tidak tahan, dan kami terpaksa mandi berkali-kali sehari kerana tidak tahan dengan cuaca yang begini,” katanya yang ditemui ketika menjual barangan cenderahati, di sini.

Lombok kini sedang dalam fasa baik pulih, selepas digegarkan dengan gempa berukuran 6.4 pada skala Richter pada 29 Julai, disusuli gegaran kedua pada 5 Ogos, berukuran 7 magnitud.


Artikel berkaitan

Kirim komen anda

E-mel anda tidak akan dipaparkan. Sila isi tempat bertanda *

*

Mesej Haji 2018 Dari Pemimpin Tertinggi Iran
We are All Zakzaky