Mahkamah Batal Saman Hindraf Terhadap Zakir Naik

Mahkamah Batal Saman Hindraf Terhadap Zakir Naik

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan 4 yang lain hari ini berjaya membatalkan saman pemula pengerusi Hindu Rights Action Force (Hindraf) P Waythamoorthy serta 18 individu lain yang menuntut perisytiharan pendakwah antarabangsa, Zakir Naik mengancam keselamatan negara dan dilarang daripada memasuki Malaysia.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan 4 yang lain hari ini berjaya membatalkan saman pemula pengerusi Hindu Rights Action Force (Hindraf) P Waythamoorthy serta 18 individu lain yang menuntut perisytiharan pendakwah antarabangsa, Zakir Naik mengancam keselamatan negara dan dilarang daripada memasuki Malaysia.

Ini berikutan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Datin Azizah Nawawi yang membenarkan permohonan semua defendan iaitu Zahid yang juga menteri dalam negeri, ketua pengarah Jabatan Imigresen Malaysia, ketua pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), ketua polis negara (KPN) dan kerajaan Malaysia di dalam kamarnya.

Prosiding itu dihadiri Peguam Kanan Persekutuan Khairul Nizam Mohd Kamal yang mewakili semua defendan manakala peguam S Karthigesan mewakili Waythamoorthy dan 18 yang lain selaku plaintif.

Turut hadir peguam Adnan Seman bertindak bagi pihak Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Datuk Ibrahim Ali yang merupakan pencelah dalam kes saman tersebut.

Adnan ketika ditemui pemberita berkata mahkamah membenarkan permohonan semua defendan atas alasan Zakir tidak dinamakan sebagai defendan dalam kes saman itu bagi menjawab semua tuduhan yang dilemparkan terhadapnya.

Katanya, mahkamah juga mendapati saman pemula itu adalah remeh dan menyusahkan serta turut memerintahkan semua plaintif membayar kos berjumlah RM5,000 kepada semua defendan.


“Oleh itu, mahkamah turut membatalkan saman pemula difailkan plaintif terhadap semua defendan,” katanya.

Sementara itu, Kartigesan berkata pihaknya akan memfailkan rayuan berhubung keputusan hari ini secepat mungkin.

Dalam saman difailkan pada 1 Mac 2017, Waythamoorthy bersama-sama 18 yang lain terdiri daripada ahli politik, peguam dan badan bukan kerajaan (NGO), menuntut perintah perisytiharan penceramah terkenal itu merupakan ancaman terhadap ketenteraman rakyat berbilang kaum dan agama di negara ini dan perlu ditangkap serta-merta.

Mereka turut mendakwa Zakir menggalakkan keganasan, dihalang memasuki beberapa negara kerana disyaki bekerjasama dengan beberapa kumpulan pengganas selain memberi dorongan kepada warga asing yang berada di negara ini untuk mengganggu ketenteraman awam.

Ibrahim, yang turut hadir pada prosiding hari ini berkata beliau berharap dengan keputusan hari ini, Zakir bebas untuk memberi ceramah dan tidak diganggu.

“Dakwaan kononnya ceramah Dr Zakir memberi rangsangan untuk pihak-pihak tertentu menjadi pengganas adalah tidak benar sama sekali,” katanya.


Kirim komen anda

E-mel anda tidak akan dipaparkan. Sila isi tempat bertanda *

*

Mesej Haji 2018 Dari Pemimpin Tertinggi Iran
We are All Zakzaky