Myanmar Ratakan Kampung Rohingya

Myanmar Ratakan Kampung Rohingya

Imej satelit terkini menunjukkan bahawa kerajaan Myanmar sedang giat memusnahkan puluhan perkampungan Rohingya dengan jentera berat dalam upaya memusnahkan sebarang bukti berkaitan pencabulan dan keganasan yang sebelum ini dilakukan oleh pihak tentera negara tersebut, lapor kumpulan hak asasi manusia.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Imej satelit terkini menunjukkan bahawa kerajaan Myanmar sedang giat memusnahkan puluhan perkampungan Rohingya dengan jentera berat dalam upaya memusnahkan sebarang bukti berkaitan pencabulan dan keganasan yang sebelum ini dilakukan oleh pihak tentera negara tersebut, lapor kumpulan hak asasi manusia.

Imej satelit dari syarikat DigitalGlobe yang berpusat di Colorado yang telah diserahkan kepada Associated Press pada hari Jumaat ini menunjukkan bahawa sekurang-kurangnya 28 perkampungan terpencil telah dimusnahkan oleh jentolak dan jentera berat lain. Aktiviti itu dibuat di dalam radius 50 kilometer di sekitar bandar Maungdaw yang terletak di kawasan barat negeri Rakhine.

Memetik kenyataan kumpulan hak asasi manusia berkaitan, AP berkata pihak berkuasa telah memusnahkan "pentas jenayah" yang mengandungi bahan bukti kekejaman yang sebelum ini dilakukan oleh pihak tentera Myanmar terhadap kaum minoriti Muslim Rohingya; jenayah termasuk rogol, penyeksaan, dan pembunuhan.

Pertubuhan Human Rights Watch (HRW) juga telah mengeluarkan analisis serupa pada hari Jumaat dengan mengatakan bahawa kerajaan Myanmar telah memusnahkan sekurang-kurangnya 55 buah kampung dengan jentera berat sejak akhir tahun 2017. Sekurang-kurangnya dua kampung yang diperatakan sebelum ini tidak musnah akibat kebakaran, kata HRW.

"Kebanyakan kampung tersebut merupakan pentas adegan jenayah terhadap kaum Rohingya dan harus dipelihara supaya pihak yang dilantik oleh PBB mampu mendokumentasikan sebarang bentuk jenayah yang wujud sebelum dapat menilai bukti-bukti tersebut dalam rangka mengenal pasti pihak yang bertanggung jawab (ke atas jenayah itu)," kata Brad Adams, pengarah Asia HRW. "Tindakan meratakan kawasan ini mampu memadamkan memori (mangsa) dan (membantutkan) tuntutan undang-undang kaum Rohingya yang tinggal di sana."

Kumpulan pemantau hak asasi pada awal minggu ini berkata bahawa kerajaan dilihat merobohkan kampung-kampung berkaitan untuk memusnahkan tapak perkuburan beramai-ramai di kawasan yang pernah didiami penduduk Rohingya.

Projek Arakan, sebuah organisasi hak asasi manusia yang mendokumentasikan kekejaman terhadap komuniti Rohingya pada awal minggu ini membekalkan video kepada The Guardian yang menunjukkan tapak perkuburan beramai-ramai sebelum kemusnahannya.

Pengarah kumpulan tersebut, Chris Lewa berkata bahawa tindakan meratakan tapak berkaitan kelihatan sebahagian daripada percubaan pihak kerajaan untuk memusnahkan bukti tapak perkuburan tersebut secara kekal.

"Dua tapak perkuburan beramai-ramai yang sedia maklum buat kami telah muncul di dalam media. Akan tetapi, pada hari Khamis lepas, salah sebuah daripada tapak perkuburan beramai-ramai itu telah dibongkar. Ini bererti bukti berkaitan pembunuhan tersebut itu sedang dimusnahkan," kata Lewa.

Kerajaan juga menafikan tuduhan tersebut, dengan mengatakan bahwa mereka sedang berusaha untuk membina semula kawasan yang musnah itu. Mereka juga menafikan tuduhan pembunuhan beramai-ramai ke atas etnik umat Islam Rohingya.

Ribuan kaum Muslim Rohingya telah terbunuh dalam tindakan keras pihak tentera Myanmar yang bermula pada akhir tahun 2016 dan dipertingkatkan pada Ogos 2017. Sekitar 700,000 etnik Rohingya juga terpaksa melarikan diri ke negara jiran, Bangladesh sejak Ogos tahun lepas.







Artikel berkaitan

Kirim komen anda

E-mel anda tidak akan dipaparkan. Sila isi tempat bertanda *

*

mourning-of-imam-hussain
Mesej Haji 2018 Dari Pemimpin Tertinggi Iran
We are All Zakzaky