Operasi Mencari Mangsa Gempa-Tsunami Sulawesi Ditamatkan

Operasi Mencari Mangsa Gempa-Tsunami Sulawesi Ditamatkan

Kerajaan Indonesia hari ini menghentikan operasi mencari mangsa yang terkorban akibat tragedi gempa-tsunami di Sulawesi meskipun kira-kira 5,000 orang lagi dilaporkan masih hilang.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Kerajaan Indonesia hari ini menghentikan operasi mencari mangsa yang terkorban akibat tragedi gempa-tsunami di Sulawesi meskipun kira-kira 5,000 orang lagi dilaporkan masih hilang.

Gempa magnitud 7.5 disusuli tsunami yang meranapkan bandar Palu 28 September lalu dilaporkan meragut lebih 2,000 nyawa.

"Operasi mencari dan menyelamat (SAR) berakhir petang ini," kata Pengarah Lapangan SAR di Palu, Bambang Suryo.

Sementara itu, agensi bencana kebangsaan berkata, kira-kira 80,000 orang kehilangan tempat tinggal.

Anggota penyelamat sebelum ini bertungkus-lumus mencari mangsa yang tertimbus di bawah runtuhan, namun berdepan kesukaran akibat lumpur yang kembali mengeras susulan fenomena pencairan tanah.

Terdahulu, pihak berkuasa turut memaklumkan kawasan yang paling teruk terjejas tidak akan diusik kerana dikategorikan sebagai perkuburan mangsa.

Beberapa taman dan tugu telah dirancang untuk dibina di tiga kawasan paling teruk iaitu Balaroa, Petobo dan Jono Oge, sebagai memperingati ribuan mangsa yang terkorban.

Dalam pada itu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata, 200,000 orang memerlukan bantuan kemanusiaan segera di Palu terutama air minuman dan ubat-ubatan yang semakin kehabisan. - AFP


Kirim komen anda

E-mel anda tidak akan dipaparkan. Sila isi tempat bertanda *

*

Mesej Haji 2018 Dari Pemimpin Tertinggi Iran
We are All Zakzaky