Pemimpin Eropah ‘Gila’ - Duterte

  • News Code : 818977
  • Source : Utusan
Brief

Presiden Filipina, Rodrigo Duterte melabelkan pemimpin-pemimpin Eropah sebagai ‘gila’ selepas mereka mengkritik tindakannya melancarkan kempen memerangi dadah.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Presiden Filipina, Rodrigo Duterte melabelkan pemimpin-pemimpin Eropah sebagai ‘gila’ selepas mereka mengkritik tindakannya melancarkan kempen memerangi dadah.

Sambil mengulangi ikrar untuk membunuh pengedar dadah, Duterte melontarkan persoalan mengenai mengapa pemimpin terbabit mahu campur tangan terhadap urusan dalaman Filipina.

“Saya tidak faham dengan ‘gila’ ini. Mengapa mereka mahu campur tangan dalam isu kita? Apa yang cuba dilakukan oleh mereka terhadap kita?

“Mengapa mereka tidak henti-henti campuri urusan negara kita? Mengapa mahu menyibuk dalam hal ini,” soalnya dalam nada marah ketika berucap sempena lawatan rasminya ke Myanmar malam semalam.

Duterte dalam kempen pilihan raya Presiden bersumpah untuk menghapuskan dadah dan jenayah sekiranya memenangi pilihan raya itu.

Menurut polis, hampir 2,500 orang dibunuh dalam kempen memerangi dadah Duterte sehingga menerima kritikan meluas antarabangsa khususnya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Bagaimanapun, kumpulan hak asasi mendakwa, angka kematian berkaitan kempen memerangi dadah mungkin melebihi 5,000 orang.

Dalam pada itu, Duterte sekali lagi mengeluarkan amaran keras untuk tidak sesekali tunduk kepada mana-mana kritikan atau tekanan sebaliknya akan meneruskan kempen berkenaan.

“Lagi ramai yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah akan mati. Saya kata tidak akan berhenti. Saya akan lakukan ini sehingga kesemua yang berkaitan dengan dadah mati.

“Amaran ini termasuk untuk ketua sindiket berprofil tinggi sehingga yang menjual di tepi jalan,” tegasnya. – AFP


Artikel berkaitan

Kirim komen anda

E-mel anda tidak akan dipaparkan. Sila isi tempat bertanda *

*

We are All Zakzaky
Telegram