Petunjuk Kelajuan Udara Lion Air Rosak Sejak 4 Penerbangan Terakhir

Penyiasat Indonesia berkata, petunjuk kelajuan udara pesawat Lion Air yang terhempas minggu lalu, rosak sejak 4 penerbangan terakhir.

Foto: Reuters

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Penyiasat Indonesia berkata, petunjuk kelajuan udara pesawat Lion Air yang terhempas minggu lalu, rosak sejak 4 penerbangan terakhir.

Ketua Jawatankuasa Keselamatan Pengangkutan Nasional Indonesia (KNKT), Soerjanto Tjahjono berkata, kerosakan itu didedahkan selepas data dimuat turun daripada perakam data penerbangan (FDR) pesawat itu.

Beliau berkata, pihaknya sudah menghubungi syarikat Boeing dan pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) berhubung tindakan yang perlu diambil bagi mengelakkan masalah sama berulang.

“Kami sedang berbincang dengan NTSB dan Boeing mengenai pemeriksaan terperinci berhubung petunjuk kelajuan udara,” katanya merujuk Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan AS.

Pemangku ketua Pentadbiran Penerbangan Persekutuan AS (FAA), Dan Elwell, berkata FAA dan NTSB menghantar sepasukan pakar ke Indonesia atas permintaan Jakarta.

“Sebarang tindakan FAA berhubung insiden itu hanya akan dibuat selepas kita mempunyai maklumat dan hasilnya,” kata Elwell di Washington.

Menurut sumber, Indonesia belum mengemukakan permintaan rasmi untuk pemeriksaan semua pesawat jenis 737 MAX.

Penyiasat juga belum mendedahkan sebarang laporan mengenai kegagalan kelajuan udara pesawat itu.

Seorang lagi sumber berkata, FAA yang mengawal selia industri penerbangan AS, tidak menerima sebarang laporan isu kelajuan udara bagi pesawat jenis itu di AS.

Tidak jelas sama ada kerosakan dialami pesawat Lion Air itu berpunca daripada masalah mekanikal atau penyelenggaraan.

“Kami tidak tahu lagi punca masalah itu, pembaikan apa yang sudah dilakukan, apa komponen yang sudah dikeluarkan,” kata Nurcahyo Utomo, ketua jawatankuasa kecil bagi nahas udara KNKT.

“Ini perkara yang kita sedang siasat, apa kerosakannya dan bagaimana ia dibaiki.”

Pakar keselamatan berkata, terlalu awal untuk menentukan punca nahas Lion Air.

Pihak berkuasa belum menemui perakam suara kokpit Lion Air dari dasar laut.

Boeing pula enggan mengulas. Menurut laman web syarikat itu, sebanyak 219 pesawat 737 MAX diserahkan kepada pelanggan di seluruh dunia, manakala 4,564 tempahan belum siap.

Boeing 737 MAX ialah pesawat yang lebih jimat minyak dan nahas Lion Air minggu lalu ialah yang pertama membabitkan pesawat sedemikian sejak syarikat penerbangan itu mula menggunakannya tahun lalu.

Pesawat Lion Air penerbangan JT610 yang membawa 181 penumpang dan 8 anak kapal terhempas di perairan Tanjung Karawang pada 29 Oktober lalu.

Nahas itu berlaku 13 minit selepas pesawat terbabit berlepas dari Lapangan Terbang Soekarno-Hatta pada 6.20 pagi.

FDR Lion Air ditemui 1 November lalu.


Artikel berkaitan

Kirim komen anda

E-mel anda tidak akan dipaparkan. Sila isi tempat bertanda *

*

Mesej Haji 2018 Dari Pemimpin Tertinggi Iran
We are All Zakzaky