Pusat Lawan IS Di Putrajaya Tunggu Putera Saudi, Staf Dirahsiakan

  • News Code : 865630
  • Source : Free Malaysia Today
Brief

Empat bulan sejak kerajaan mengumumkan peruntukan tanah seluas 16 hektar di Putrajaya untuk membina sebuah pusat membanteras keganasan bersama Arab Saudi, butiran mengenainya masih samar.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Empat bulan sejak kerajaan mengumumkan peruntukan tanah seluas 16 hektar di Putrajaya untuk membina sebuah pusat membanteras keganasan bersama Arab Saudi, butiran mengenainya masih samar.

Malah, siapa yang terlibat di sebalik Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman (KSCIP) itu juga masih tidak diketahui.

Ia bukan sesuatu yang tidak disengajakan, kata Jabatan Pentadbiran dan Pembangunan Institut Pertahanan dan Keselamatan Malaysia (MiDAS), agensi di bawah Kementerian Pertahanan yang terlibat memastikan penubuhan KSCIP.

“Kakitangan KSCIP juga dirahsiakan identitinya kerana mereka akan menjadi ancaman IS,” kata Pengarah MiDAS, Leftenan Kolonel Mazuhir Md Amin kepada FMT baru-baru ini.

IS dan gagasan militan kumpulan itu merupakan antara sebab utama pusat itu, yang dipercayai mula beroperasi akhir Mei lalu, dicadangkan.

Ia bertujuan menangkis pengaruh ekstremisme dan membetulkan persepsi masyarakat dunia terhadap Islam, di samping mempromosikan kesederhanaan Islam.

Antaranya Dr Zachary Abuza, pakar pengkaji kumpulan keganasan dari Amerika Syarikat (AS), melahirkan rasa bingung dengan langkah Malaysia bekerjasama rapat dengan Arab Saudi yang menurutnya merupakan asal usul gagasan IS.

“Kerjasama dengan Arab Saudi untuk membentuk pusat Islam sederhana adalah melucukan. Tidak ada yang sederhana mengenai Arab Saudi,” kata profesor di National War College, Washington itu dalam wawancara bersama FMT Julai lalu.

Ia juga dipersoalkan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, yang menganggap Riyadh “kurang sesuai” sebagai rakan dalam usaha melawan keganasan.

“Sepatutnya pilih untuk kerjasama dengan negara yang tidak terlibat dalam peperangan. Ini hendak bekerjasama dengan negara yang jelas terlibat dalam peperangan,” katanya.

Putera Saudi ditunggu

Antara yang terlibat dalam penubuhan KSCIP ialah Kementerian Pendidikan Tinggi melalui Universiti Sains Islam Malaysia, yang akan bekerjasama dengan sebuah institut di bawah Kementerian Pertahanan Arab Saudi, Markaz Harb Fikriah (Pusat Peperangan Ideologi).

Turut terlibat ialah Rabitah Alam Al-Islami (Liga Muslim Dunia), sebuah pertubuhan yang aktif dalam kegiatan dakwah di seluruh dunia, tetapi mengundang kontroversi atas kaitannya dalam menyebarkan fahaman Wahabi, aliran Islam yang menjadi pegangan pihak berkuasa Arab Saudi untuk sekian lama.

KSCIP diilhamkan oleh Raja Saudi, Raja Salman Abdul Aziz pada Februari lepas, semasa lawatan rasmi ke Malaysia.

Ia bakal dilancarkan secara rasmi oleh Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed Salman sendiri.

Tidak diketahui sama ada krisis politik di Arab Saudi ketika ini memberi kesan terhadap pelancaran KSCIP.

Putera Salman yang disebut-sebut menggantikan Raja Salman, baru-baru ini mengarahkan penangkapan beberapa tokoh perniagaan dan kerabat diraja Saudi, dalam usaha menguatkan pengaruhnya.

Menurut Mazuhir, pihaknya masih menantikan tarikh daripada Arab Saudi untuk pelancaran pusat keamanan itu.

“Buat masa ini persiapan semua kita sudah sediakan, tinggal tunggu tarikh sahaja,” katanya lagi.


Kirim komen anda

E-mel anda tidak akan dipaparkan. Sila isi tempat bertanda *

*

Mesej Haji 2017 Dari Pemimpin Tertinggi Iran
We are All Zakzaky
Telegram