Sarjana Islam Di Malaysia ‘Aneh’, Kata Zaid

Sarjana Islam Di Malaysia ‘Aneh’, Kata Zaid

Bekas menteri Datuk Zaid Ibrahim hari ini mempertikaikan penganiayaan terhadap pengikut Syiah, tertanya mengapa mereka di Malaysia dilihat sebagai satu ancaman keselamatan.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Bekas menteri Datuk Zaid Ibrahim hari ini mempertikaikan penganiayaan terhadap pengikut Syiah, tertanya mengapa mereka di Malaysia dilihat sebagai satu ancaman keselamatan.

Zaid dalam catatan blog terbaru berkata, sarjana Islam di negara ini “aneh” kerana mereka bercakap tentang kesatuan orang Islam tetapi dalam masa yang sama menentang pengikut Syiah.

Menjawab Mufti Perlis Datuk Mohd Asri Zainul Abidin, yang mengaitkan pengikut Syiah dengan ancaman kepada keselamatan negara, Zaid berkata Asri di atas kertas boleh dikatakan mufti paling berkelayakan di negara ini.

Ahli DAP itu berkata orang Islam Malaysia gemar memetik beliau untuk mengukuhkan hujah mereka dalam banyak isu “seperti apa yang halal dan haram, yang kebetulannya, dibincangkan kebanyakan masa”.

“Tentu sekali saya bukan seorang sarjana agama, begitu juga Tun Dr Mahathir Mohamad, saya juga tidak tahu baca Bahasa Arab dan tidak memakai serban. Tetapi sarjana Islam di Malaysia aneh.

“Setiap hari mereka selalu kata kita perlu buat ini dan itu demi umat, iaitu masyarakat Islam sejagat. Kemudiannya, mereka kata kalau seseorang itu pengikut Syiah dan bukan seorang Islam dari jenis Sunnah Wal Jamaah, orang itu ancaman kepada keselamatan negara.”

Merujuk kepada warga Iran dan kumpulan Syiah dari serata dunia yang dibenarkan masuk ke Mekah semasa haji, Zaid berkata “bagi saya yang bukan sarjana, itu mesti bermakna mereka juga orang Islam”.

Beliau berkata di satu persidangan Islam di Amman, negara-negara Islam termasuk Malaysia mengiktiraf pengikut Syiah sebagai orang Islam.

“Jadi mengapa pengikut Syiah dianiaya kalau mereka juga orang Islam?

“Kita tidak perlu ikut jejak Pakistan dan Afghanistan di mana pengikut Sunnah Wal Jamaah dan Syiah saling melempar bom. Kita boleh ikut jejak India dan Bangladesh, di mana mereka hidup aman damai.

“Amalan mereka mungkin berbeza, sepertimana amalan pengikut Protestant berbeza dengan amalan pengikut Katolik, tetapi itu bukan alasan untuk menganggap pengikut Syiah ancaman kepada keselamatan negara.”

Pada 23 Januari, Asri akui bersama pasukan dari Jabatan Mufti Perlis ke rumah aktivis Amri Che Mat untuk menyoalnya pada 2015. Asri turut menyerang aktiviti Amri, yang dikatakan seorang pengikut Syiah.

Pengakuan itu menyusuli dakwaan isteri Amri, Norhayati Ariffin yang mendakwa Asri bersama pasukan 20 anggota polis dan pegawai dari jabata itu yang menyoal Amri dan menyiasat aktiviti NGO, Perlis Hope.

Norhayati mendedahkan kejadian itu di siasatan awam Suruhajaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) ke atas kehilangan misteri Amri, Joshua Hilmy dan isteri, Ruth.

Asri bagaimanapun nafi ada kaitan dengan kehilangan Amri.

Zaid di blognya tertanya bagaimana seorang Syiah di sebuah pekan di Perlis dan melakukan kerja amal membantu orang miskin boleh menjadi ancaman kepada keselamatan negara.

“Saya harap mufti yang arif boleh jelaskan perkara itu kepada kami yang bukan pakar tentang bagaimana seseorang itu boleh menjadi ancaman kepada keselamatan negara hanya kerana dia dari kumpulan atau komuniti tertentu.

“Saya mengesyaki sebab Syiah dilihat berbahaya kepada orang Islam di sini ialah kerana pemimpin Islam di sini takut amalan mereka mungkin menarik kepada orang Islam lain di negara ini, menyebabkan mereka meninggalkan satu pihak untuk bersama pihak lain.


Artikel berkaitan

Kirim komen anda

E-mel anda tidak akan dipaparkan. Sila isi tempat bertanda *

*

Quds cartoon 2018
We are All Zakzaky