Suka Hati Kamilah Nak Berkumpul Di Kedutaan AS, Kata PAS

  • News Code : 871424
  • Source : Free Malaysia Today
Brief

PAS dan beberapa pertubuhan Islam yang merancang berhimpun di hadapan kedutaan Amerika Syarikat esok tidak setuju dengan saranan aktivis Datuk Dr Ahmad Farouk Musa untuk mengadakan protes di kedutaan Arab Saudi sekiranya marah dengan tindakan Washington mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - PAS dan beberapa pertubuhan Islam yang merancang berhimpun di hadapan kedutaan Amerika Syarikat esok tidak setuju dengan saranan aktivis Datuk Dr Ahmad Farouk Musa untuk mengadakan protes di kedutaan Arab Saudi sekiranya marah dengan tindakan Washington mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.

Malah Naib Presiden PAS Idris Ahmad menuduh Dr Farouk, yang juga pengarah Islamic Renaissance Front (IRF), mencampuri urusan parti itu.

“Suka hati kamilah nak buat protes dekat mana pun. Apa nak sibuk hal orang?” kata Idris ketika dihubungi FMT.

“Mari ikut kita berhimpun sekali. PAS ada cari sendiri,” tambahnya.

Dr Farouk hari ini mempersoalkan rancangan PAS dan beberapa pertubuhan Islam untuk mengadakan protes membantah keputusan Trump itu di kedutaan Amerika di Jalan Ampang.

Ini kerana menurut Dr Farouk, pihak yang perlu dipersalahkan adalah kerajaan Arab Saudi yang merupakan sekutu tegar Trump di Timur Tengah, sehingga membolehkan AS untuk membuat keputusan berani itu walau dibantah masyarakat antarabangsa.

“Semua orang tahu cerita Mohammed bin Salman (MBS),” kata Dr Farouk merujuk putera mahkota Arab Saudi yang dilihat bakal menaiki takhta.

Dr Farouk turut memetik New York Times yang melaporkan putera Saudi itu menggesa Presiden Palestin, Mahmoud Abbas untuk menerima Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.

Berdasarkan fakta tersebut, Dr Farouk menasihatkan mereka yang tidak puas hati dengan langkah Trump untuk berkumpul di luar kedutaan Arab Saudi.

Awal hari ini, Trump mengumumkan akan memindahkan kedutaan AS dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis, dalam langkah untuk mengiktiraf kota suci kepada 3 agama itu sebagai milik Israel.

Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) pula mendakwa Dr Farouk cuba mengalihkan isu, sambil berkata pendirian Arab Saudi mengenainya tidak akan mengubah keputusan Trump.

“Trump memikirkan bahawa mereka adalah kuasa terbesar di dunia. Maka sama ada Arab Saudi sokong atau tidak, kalau sekiranya Trump mahu melakukan sesuatu agenda, dia pasti akan lakukan.

“Kita kena faham melibatkan polisi AS yang mempunyai kuasa mutlak. Tidak ada kuasa atau campur tangan negara lain untuk memastikan perkara tersebut boleh dihalang,” kata Setiausaha Agung Abim, Muhammad Faisal Abdul Aziz.

‘Saudi bersandiwara’

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin menyokong cadangan Dr Farouk dan berkata Arab Saudi hanya membuat “wayang” kononnya menjaga kesucian Baitulmaqdis.

Raja Bahrin berkata pendedahan 2 minggu lalu oleh Menteri Tenaga Israel Yuval Steinitz bahawa ada kerjasama dengan Arab Saudi dalam berdepan musuh bersama iaitu Iran menunjukkan ada rancangan di sebalik tabir melibatkan Riyadh dan Tel Aviv.

“Ini ramai umat Islam sedunia tidak tahu,” katanya, dan menambah ramai terpedaya yang Arab Saudi bermusuh dengan Israel.

“Apa berlaku sekarang merupakan sandiwara besar-besaran oleh Arab Saudi konon menjaga kesucian Islam tetapi tanggungjawab mereka bukan jaga kesucian Islam di Mekah dan Madinah tetapi termasuk di Baitulmaqdis.

“Bila mereka bersama Israel, mereka pecah amanah kerana tidak menjaga kesucian Baitulmaqdis.”


Artikel berkaitan

Kirim komen anda

E-mel anda tidak akan dipaparkan. Sila isi tempat bertanda *

*

Mesej Haji 2017 Dari Pemimpin Tertinggi Iran
We are All Zakzaky
Telegram