Tentera Yakin Pergolakan Di Selatan Thailand Semakin Pulih

Tentera Yakin Pergolakan Di Selatan Thailand Semakin Pulih

Pergolakan di wilayah selatan Thailand dilihat semakin pulih oleh pihak berkuasa Thailand apabila hampir 160 pemberontak yang terlibat dalam pergolakan di negara itu telah meletakkan senjata dan menerima tawaran untuk berdamai.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Pergolakan di wilayah selatan Thailand dilihat semakin pulih oleh pihak berkuasa Thailand apabila hampir 160 pemberontak yang terlibat dalam pergolakan di negara itu telah meletakkan senjata dan menerima tawaran untuk berdamai.

Pengarah Operasi Keselamatan Dalam Negeri Wilayah 4 Tentera Diraja Thailand (RTA), Leftenan Jeneral Piyavat Nakvanich berkata pergolakan yang sudah berlanjutan sejak tujuh dekad lalu semakin pulih hasil pendekatan lebih mesra yang diambil oleh kerajaan serta pihaknya dalam mendekati masyarakat di situ.

"Sehingga kini, 158 pemberontak dari wilayah selatan Thailand telah menerima tawaran peneutralan untuk membuka buku baharu dalam kehidupan mereka (pemberontak). Ini kerana mereka faham tentang kepentingan untuk menjaga keamanan dan kedaulatan negara yang mana mereka tidak dihalang untuk mengamalkan agama masing-masing.

"Ini juga telah menyumbang kepada penurunan ketara dalam insiden keganasan sebanyak 45 peratus tahun lepas berbanding 2016 dan kejadian itu terus menurun kepada 72 peratus antara Oktober 2017 dan awal bulan ini," katanya sewaktu menerima kunjungan anggota Kelab Media Elit Kedah (KMEK) di Kem Sirindhon, Sabtu lalu.

Turut hadir Presiden KMEK, Mohd Rafie Azimi; Presiden Persatuan Wartawan 14 Wilayah Thailand, Chaiyong Maneerungsakul; Presiden Persatuan Wartawan Yala, Karim Raman Siriwong; dan beberapa anggota jawatankuasa kelab berkenaan.

Piyavat yang menggunakan jurubahasa itu berkata pemberontak memutuskan untuk melepaskan perjuangan secara keganasan setelah menyedari bahawa mereka telah disesatkan untuk menyertai pemberontakan itu.

Mereka menuntut Kerajaan Thailand memberikan autonomi kepada masyarakat Islam di wilayah itu dengan alasan masyarakat terbabit dinafikan hak mereka untuk menikmati pembangunan yang setara dengan masyarakat bukan Islam.

"Kita menggalakkan mereka untuk kembali kepada masyarakat dan menjalani kehidupan normal. Mereka boleh memilih untuk tinggal di kampung halaman sendiri atau berpindah ke lokasi baru kerana kita akan sentiasa memberi perlindungan kepada mereka dan anggota keluarga," katanya

Dalam pada itu, beliau yang merupakan Panglima Angkatan Tentera Thailand di 14 wilayah selatan berkata hasil tinjauan yang dilakukan pihaknya mendapati sebanyak 95 peratus penduduk majoriti Islam di wilayah selatan Thailand itu menolak pemberontakan yang bermula pada tahun 1948.

"Semua mahu hidup dalam keadaan yang aman, cuma lima peratus penduduk yang berada dalam kalangan yang terpengaruh yang menimbulkan masalah. Kita tahu siapa yang terlibat dan sentiasa memantau pergerakan mereka.

"Kita tidak akan memberikan seinci tanah kepada pemberontak tetapi sekiranya mereka bersama-sama kita, mereka boleh dapat lebih daripada yang diminta.

“Kita juga telah menjalankan banyak program bagi membantu memperkukuhkan ekonomi penduduk di wilayah bergolak itu di bawah program 'Pemikiran DiRaja' antaranya mewujudkan projek agrotani buat mereka," katanya. -Bernama


Kirim komen anda

E-mel anda tidak akan dipaparkan. Sila isi tempat bertanda *

*

Mesej Haji 2017 Dari Pemimpin Tertinggi Iran
We are All Zakzaky
Telegram