Zahid Bimbang Trump Iktiraf Baitulmaqdis Kerana Agenda Peribadi

Zahid Bimbang Trump Iktiraf Baitulmaqdis Kerana Agenda Peribadi

Pendirian Malaysia menentang pengiktirafan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel dibuat atas dasar kemanusiaan bagi mengelakkan penduduk Palestin terus ditindas rejim Zionis.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Pendirian Malaysia menentang pengiktirafan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel dibuat atas dasar kemanusiaan bagi mengelakkan penduduk Palestin terus ditindas rejim Zionis.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, Malaysia juga membantah tindakan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump membuat pengiktirafan sedemikian kerana ia berkaitan Islam yang menganggap Baitulmaqdis antara kota suci umatnya.

Sehubungan itu, beliau mengulangi gesaannya meminta rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama bersama kerajaan dalam menentang tindakan Trump itu.

“Isu tersebut bukan isu agama semata-mata, justeru itu, menentang (tindakan Trump) bukan hanya perlu dilakukan umat Islam, sebaliknya semua rakyat di negara ini tanpa mengira kaum atau agama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada jamuan malam sempena sambutan Hari Krismas anjuran Persatuan Paderi-paderi Kristian Hilir Perak di Hutan Melintang, malam tadi.

Zahid juga menyuarakan kebimbangan Malaysia yang tindakan Trump itu mungkin mempunyai kepentingan peribadi.

“Saya bimbang ia adalah agenda peribadinya,” katanya sambil mengajak semua lapisan masyarakat negara ini menyokong solidariti untuk rakyat Palestin.

Sehubungan itu, beliau meminta semua rakyat Malaysia supaya saling menghormati agama masing-masing serta mengelak membuat tafsiran salah tentang sesuatu agama.

“…begitulah, perayaan Krismas jangan disalah tafsir. Kita ada pelbagai perayaan dan agama (seperti) Hindu, Buddha tetapi untuk menghormatinya, perlulah melalui komitmen, bukan sekadar perkataan,” katanya.

Dalam pada itu, Zahid yang juga menteri dalam negeri berkata, Malaysia tetap menentang sebarang bentuk keganasan dan komited membanterasnya daripada menular dalam negara.


Artikel berkaitan

Kirim komen anda

E-mel anda tidak akan dipaparkan. Sila isi tempat bertanda *

*

Mesej Haji 2017 Dari Pemimpin Tertinggi Iran
We are All Zakzaky
Telegram